Pengajaran pahit untuk pengguna Facebook kerana memfitnah

KUALA LUMPUR: Pemilik akaun Facebook Ahmad Farizul Hakim Kamarudin yang memfitnah pemimpin muda Umno menarik balik tuduhan itu dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Sebelum ini, Ahmad Farizul memuat naik status yang mengaitkan kereta yang kononnya pemiliknya adalah Exco Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Husin memandu secara berbahaya dan hampir menyebabkannya terlibat dalam kemalangan.

“Kamu adalah pembuli jalan…video ini baru sahaja aku rakam tadi dekat bulatan, yang hampir membuatkan aku kemalangan…dalam kereta aku ada anak bini aku dan mak akulah,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

Ahmad Farizul  dalam satu kenyataan menyatakan kekesalan terhadap status yang dimuat naik di laman Facebook miliknya sehingga menjejaskan nama Nazir.

Beliau memohon maaf atas segala penulisan, gambar  dan tuduhan  yang diakuinya disiarkan secara melulu.

Katanya; “Saya dengan ini menarik balik segala tuduhan yang mengakibatkan fitnah ke atas beliau di dalam akaun facebook saya tersebut dan juga menarik balik segala gelaran tidak baik yang saya buat ke atas beliau,” kata Ahmad Farizul melalui catatan Facebooknya.

“Saya dengan sepenuh hati dan tanpa paksaan daripada mana-mana pihak dengan ini memohon maaf kepada saudara Nazir Hussin Akhtar Husin di atas segala penulisan, meletakkan gambar beliau dan penerbitan tuduhan secara melulu sehingga mengakibatkan fitnah yang saya buat ke atas beliau pada 19.08.2016 menerusi akaun Facebook saya yang mengakibatkan kereta NH 10.

“Saya juga menyatakan penyesalan saya yang sepenuhnya di atas penulisan dan penerbitan tersebut kerana ianya telah menjadi viral dan telah menjejaskan serta merosakkan imej dan reputasi saudara Nazir Hussin Akhtar Husin dan keluarga,” katanya.

“Saya juga memohon maaf kepada keluarga saudara Nazir Hussin Akhtar Husin termasuk terhadap ibu, ibu mertua, isteri dan adik-beradik beliau kerana penulisan dan penerbitan saya tersebut memberi kesan negatif kepada isteri dan keluarga beliau.

“Saya juga dengan ini memohon maaf kepada Umno terutamanya Pemuda Umno Malaysia kerana penulisan dan penerbitan saya tersebut juga telah memberi kesan negatif kepada parti itu dan Pemuda Umno Malaysia kerana saudara Nazir Hussin  Akhtar Husin adalah merupakan salah seorang pemimpin Pemuda Umno Malaysia,” katanya.

Tambahnya  lagi, untuk itu dia menyeru kepada semua pengguna Facebook supaya tidak mengulangi kesilapan seperti yang dilakukannya dengan membuat tuduhan melulu sehingga mengakibatkan fitnah pada seseorang dan keluarganya.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada saudara Nazir Hussin Akhtar Husin dan rakan-rakan beliau yang sangat tenang kerana tidak mengambil tindakan melulu dengan menyerang saya dan keluarga saya,” katanya dalam permohonan maaf berkenaan.

Sebelum ini Nazir Hussin memberi tempoh sehingga Ahad lepas kepada Ahmad Farizul untuk menarik balik kenyataan.

Nazir berkata, sekiranya  pemilik akaun itu enggan berbuat demikian, beliau tidak teragak-agak untuk menyaman pemilik akaun itu.

Tidak pula diketahui sama ada Nazir akan menyaman Ahmad Farizul selepas permohonan maaf itu, kerana di bawah Akta Fitnah, orang yang difitnah masih boleh mengheret pihak yang memfitnah ke mahkamah.

Pihak mahkamah boleh mempertimbangkan untuk meringankan hukuman atas permohonan maaf itu jika defendan didapati bersalah. – Sarawakvoice.com