Kanak-kanak mangsa rogol dan ibu bapa akan ditawar kaunseling – Fatimah

KUCHING: Empat kanak-kanak yang menjadi mangsa culik dan rogol dan ibu bapa mereka akan menjalani sesi kaunseling yang dikendalikan oleh pihak hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah.

Akan tetapi katanya, ia terpulang kepada penerimaan keluarga itu sendiri dan kesediaan mereka untuk menjalani proses tersebut, berikutan mangsa masih trauma dengan apa yang berlaku.

ftm

“Pihak kita sentiasa bersedia membantu dan mereka (kaunselor) memiliki kepakaran dalam bidang ini,” katanya ketika ditemui selepas mengendalikan mesyuarat pertama Majlis Wanita Negeri Sarawak di Wisma Wanita dekat sini, hari ini.

Fatimah berkata, pihaknya amat sedih dengan perkembangan ini, apatah lagi ia membabitkan individu yang dikenali oleh kanak-kanak terbabit dan keluarganya.

“Oleh itu kami berharap takrifan baharu jenayah rogol yang akan dipinda di Parlimen sedikit masa lagi akan mendapat sokongan semua ahli Parlimen, terutamanya wakil-wakil dari Sarawak,” jelasnya.

Pada masa yang sama katanya, ibu bapa juga dinasihatkan agar tidak mudah percaya untuk memberikan kebenaran kepada anak-anak mereka keluar dengan lelaki yang tiada pertalian darah dengan keluarga, sebaliknya harus sentiasa memantau pergerakan anak-anak terbabit.

Dalam kes terbaharu, seorang kanak-kanak berusia 5 tahun menjadi mangsa rogol seorang lelaki sekampungnya di Jalan Matang di sini, setelah mengumpan kanak-kanak tersebut untuk berkunjung ke sebuah kedai di kampungnya.

Kejadian lain pula menyaksikan seorang kanak-kanak hilang selama dua hari sebelum ditemui di kawasan belukar di Miri dalam keadaan tidak bermaya, dipercayai dirogol oleh abang iparnya sendiri.

Selain itu kata Fatimah, kementeriannya juga akan melancarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) khas bagi menangani kes-kes wanita dan kanak-kanak yang berhadapan jenayah rogol, keganasan seksual dan penderaan di negeri ini.

“Ia adalah hasil permuafakatan di antara pihak kami dan Polis Diraja Malaysia baru-baru ini , dan diharapkan akan dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Dengan adanya SOP ini, petualang yang melakukan perbuatan terkutuk ini akan dapat dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin manakala mangsa-mangsa yang terbabit pula akan mendapat bantuan sepantas dan secekap mungkin.

“Antara bantuan ini termasuklah khidmat rawatan, kaunseling, kebajikan dan lain-lain lagi,” katanya. – Sarawakvoice.com