Kepungan bomba elak api marak kebakaran besar di Taman Sevilla, Pujut

MIRI: Dua buah rumah berkembar musnah dalam satu kejadian kebakaran di Pujut dekat sini semalam.

Dalam kejadian tersebut, api marak dengan cepat, namun penghuninya sempat menyelamatkan diri.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan berkata,pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11.41 pagi dan dua jentera, satu ambulans EMRS dan sebuah prime mover water tanker dengan kekuatan 16 anggota digerakkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri dan Lopeng.

“Setibanya di lokasi di Taman Sevilla, 10 minit kemudian, api didapati telah marak di kedua-dua bahagian rumah berkenaan.

“Pasukan kemudian bertindak mengepung dan mengawal api daripada merebak ke kediaman berdekatan, yang agak kedudukannya kurang lima meter.

Katanya, operasi pemadaman menggunakan dua aliran 400 kaki, 4 nozel,1 cabang pembahagi, dengan sumber air diperolehi daripada jentera dan pili bomba berdekatan.

“Api berjaya dikawal 21 minit kemudian, sebelum diteruskan dengan kerja-kerja penyejukan.

“Hasil pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati rumah pertama musnah hampir 70 peratus manakala rumah kedua, 30 peratus.

“Tiada mangsa dilaporkan cedera,” kata Farhan lagi.

Punca kejadian katanya, masih disiasat oleh pasukan forensik kebakaran. – Sarawakvoice.com