Dr Awang Azman Awang Pawi
Dr Awang Azman Awang Pawi

Ketika isu autonomi Sarawak berkumandang, isu bangsa Johor turut berkumandang. Isu ini mendapat perhatian Tun Mahathir yang mendakwa  tindakan Negeri Johor mempromosikan “Bangsa Johor” tidak melambangkan kesepaduan.

Sepatutnya yang harus digalakkan ialah idea Malaysia dan bukannya isu rakyat dari negeri berbeza.  Promosi semangat kenegerian berbanding kebangsaan akan memecah-belah rakyat Malaysia.

Tun Mahathir mendakwa  ungkapan “bangsa Johor”  berupaya menggalakkan rasa bangga diri yang tidak sihat. Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pula membidas kenyataan ini,  sebaliknya menyifatkan konsep tersebut sebagai berhasil dan telah diasaskan sejak 1920. 

Baginda juga menyatakan setiap negeri perlu ada rasa bangga dengan negeri masing-masing. Kebanggaan ini tidak bermakna setiap negeri mahu keluar dari Persekutuan.

Di Sabah, Shafie Apdal ahli Parlimen Semporna  berikrar mahu terus berjuang memelihara kepentingan rakyat Sabah di peringkat nasional. Katanya, “seperti ketika saya bersama UMNO, hak rakyat Sabah  terus diperjuangkan, termasuk dari segi kuasa autonomi. Isu keluar dari Sabah tidak akan berbangkit, saya tak akan perjuangkan ini. Saya akan perjuangkan hak rakyat Sabah, itu pasti”.

Sebelum itu, Musa Aman Ketua Menteri Sabah pernah menyatakan  meminta Kerajaan Pusat memberi kuasa lebih  khususnya dalam pelaksanaan projek luar bandar.

Menurut beliau, antara penyebab kelewatan pelaksanaan sesuatu projek pembangunan luar bandar disebabkan oleh  banyak agensi Kerajaan Persekutuan menjadi agensi pelaksana.

Masalah ini termasuk kelewatan penyaluran dana, banyak amalan birokrasi dan wujudnya permainan politik dalam pengurusan projek.

Justeru, Kerajaan Negeri Sabah mahu kuasa autonomi bagi mengendalikan projek seumpama ini agar projek dapat siap lebih cepat.

Kesemua kenyataan tersebut mengandungi aspek sentimen kenegerian.

Integrasi semakin pudar?

Semenjak penubuhan Malaysia, intergrasi nasional sering menjadi agenda negara.  Ketika negara semakin makmur dari segi pembangunan dan kedudukan ekonomi pada 1990-an, isu integrasi nasional kurang diperkatakan.

Ketika itu kedudukan politik negara juga stabil. Kekuatan politik dan ekonomi negara diyakini dapat melenyapkan isu kenegerian.

Namun, ia berlaku di sebaliknya, semenjak situasi ekonomi dunia mempengaruhi perkembangan ekonomi tanah air pada masa kini, khususnya apabila berlaku kejatuhan harga minyak luar biasa di peringkat global. 

Menurut laporan akhbar antarabangsa Bloomberg, Petronas mengalami penurunan keuntungan 96 peratus pada awal tahun ini berbanding tahun sebelum ini.

Dianggarkan daripada keuntungan RM9.1 bilion (AS$86 juta) ia menjunam kepada hanya memperoleh keuntungan RM348 juta (AS$86 juta). Ini membawa kepada perubahan struktur yang menyebabkan sekitar 1,000 pekerja hilang pekerjaan.

Situasi ini menyebabkan ada negeri seperti Sarawak menerima dampak kehilangan pekerjaan dalam sektor tersebut. Namun, sifat politik etnonasionalisme berkumandang seolah-olah tidak mempertimbang situasi ini. Apabila isu ini menjadi isu kenegerian  menebal, maka aspek integrasi nasional mulai luntur.

Kekuatan politik Kerajaan Pusat penguat integrasi

Ketika Putrajaya kuat dan mantap tidak timbul isu kenegerian yang sempit. Era pemerintahan Tun Mahathir 22 tahun walaupun dianggap sesetengah pihak sebagai diktator, dengan cepat dapat dipadamkan unsur-unsur kenegerian yang boleh melonggarkan kekuatan Persekutuan.

Apabila Tun Mustapha menunjukkan  kekuatannya di peringkat Negeri Sabah, malah hingga tidak hadir ke majlis angkat sumpah apabila dilantik sebagai Menteri Pertahanan dan menolak jawatan tersebut  pada awalnya, cukup membingungkan pihak kerajaan Persekutuan di  Kuala Lumpur. 

Namun, kekuatan Tun Mustapha sebagai  Ketua Menteri Sabah berjaya dilemahkan apabila beliau tersingkir. Ternyata pemimpin Persekutuan menyokong pembentukan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) untuk  menyingkirkan Tun Mustapha Harun.

Seterusnya, apabila Harris Salleh menjadi Ketua Menteri Sabah, beliau pula dipersepsikan sebagai terlalu bersikap Persekutuan lebih-lebih lagi hubungannya dengan Mahathir sebagai Perdana Menteri  ketika itu sangat rapat. 

Ekonomi dan politik bergelora

Apabila ekonomi kurang menentu akibat daripada penurunan harga minyak dunia, implikasi terhadap pembangunan sangat besar. Implikasi ini termasuk dari aspek pemotongan peruntukan pembangunan yang dirancang hingga kepada pemotongan  peruntukan penyelenggaraan dan harian. Hal ini menimbulkan ketidakselesaan rakyat. Di sinilah timbulnya isu seperti pembuangan pekerjaan dan tuntutan ke atas Petronas timbul di Sarawak.

Ternyata isu seumpama ini tidak membantu mengukuhkan integrasi nasional sedangkan niat di sisi lain pihak Petronas selain faktor kepakaran dan kompetitif, turut menimbangkan faktor dalam membina jambatan integrasi nasional.

Politik mutakhir begitu bergelora yang bermula dari pelbagai isu semasa hingga menyebabkan hanya mendapat kemenangan  tipis Putrajaya pada pilihan raya lalu.  Undi popular BN hanya 47.4 peratus.  Dalam keadaan ini, suara Putrajaya dilihat semakin lemah berbanding 51.4 peratus undi popular diperoleh BN pada pilihan raya umum 2008.

Maka Sabah dan Sarawak sebagai pemberi kemenangan Putrajaya sudah pasti mahu kek pembangunan dan ganjaran yang lebih untuk politik dan pembangunan.

Pada masa yang sama, ketidakstabilan dan krisis dalaman UMNO menyebabkan taring parti tersebut yang selama ini digeruni parti lawan dan komponen seakan-akana tumpul. 

Apabila berlaku pelbagai tuntutan politik dalam suasana yang lemah ini, maka fokus membina agenda integrasi nasional semakin pudar.

Dalam pada itu, isu politik dan kemerosotan ekonomi seakan-akan mengaburkan agenda nasional termasuk integrasi nasional. 

Apabila Putrajaya dilihat mudah tunduk dengan tekanan semasa meskipun dilihat ada manfaat untuk kepentingan politik negeri, namun dari segi jangka panjang dalam rangka sistem Persekutuan ia akan menggugah  sistem persekutuan itu sendiri.

Justeru, aspek integrasi nasional perlu dilihat  dan dilaksanakan sebagai agenda negara tanpa mengira etnik, negeri dan agama. – Sarawakvoice.com