Dr Jeniri Amir
Dr Jeniri Amir

Satu daripada agenda penting selepas pembentukan Malaysia adalah untuk mewujudkan integrasi wilayah. Sebelum pembentukan Malaysia, malah pada awal pembentukannya, memang wujud sentimen anti-Semenanjung yang begitu ketara dalam kalangan penduduk Sarawak dan Sabah.  Adakah sentimen sedemikian sudah tiada lagi?

Atau adakah sentimen anti-Semenanjung semakin kuat sekarang? Kalau ya, mengapa? Adakah kerana langkah autonomi dan gerakan Sarawak untuk orang Sarawak?

Disebabkan dari segi geografi yang dipisahkan oleh Laut China Selatan di samping faktor sejarah dan komposisi yang berbeza, maka integrasi antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak menjadi tumpuan sejak kepemimpinan Tunku Abdul Rahman hingga kini.

Proses mencapai integrasi bukanlah mudah, ia memerlukan masa yang panjang. Hakikatnya, integrasi total tidak mungkin dicapai dalam waktu singkat kerana negara kita begitu kompleks.

Namun, tembok psikologi telah banyak dapat diruntuhkan dengan mobilisasi penduduk yang lebih ketara, sistem pendidikan kebangsaan, kewujudan universiti di pelbagai negeri dan peranan media.

Prasangka dan segregasi atau pemisahan semakin berkurangan. Integrasi yang kita harapkan ialah integrasi yang akhirnya memungkinkan kita mencapai negara idaman yang memiliki identiti nasional.

Rakyat pelbagai kaum semakin merasai bahawa mereka berada di bawah langit yang sama. Ikatan kesepaduan dari segi minda dan emosilah yang lebih penting dalam kalangan rakyat kita dan Laut China Selatan tidak harus menjadi jurang pemisah.

Perhubungan yang lebih akrab antara wilayah dapat mewujudkan integrasi dalam bidang politik, sosial dan nilai. Dengan adanya perhubungan dan pengertian yang lebih mendalam, maka konflik dapat dielakkan.

Rungutan yang masih wujud adalah ketidakseimbangan dari segi pembangunan prasarana, ekonomi dan peluang yang diberikan kepada rakyat kedua-dua buah negeri ini untuk menduduki jawatan kanan di kementerian-kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Semenanjung.

Mereka mengharapkan untuk ditingkatkan tahap pembangunan khususnya di luar bandar. Mereka juga mahu diberi peluang yang sama dari segi pekerjaan dan jawatan penting.

Mereka menuntut supaya royalti minyak dinaikkan agar ketidakseimbangan yang wujud dapat dikurangkan. Jangan sampai rakyat di Sabah dan Sarawak merasai mereka seolah-olah dilayan sebagai rakyat kelas dua atau anak tiri.

Jika kerajaan BN mahu kedua-dua negeri itu terus menjadi pelampung untuk menyelamatkan BN, maka perasaan, permintaan dan aspirasi rakyat di kedua-dua negeri itu perlu diberi perhatian. Memang wajar mereka membuat tuntutan berkenaan, kerana mereka beranggapan bahawa disebabkan dukungan kuat merekalah, maka BN masih berada di Putrajaya. Implikasinya, Sarawak dan Sabah tidak harus dipinggirkan atau menjadi melukut di tepi gantang.

Ada yang mendakwa hasil bumi Sabah dan Sarawak dirompak untuk membangunkan Semenanjung? Betulkan dakwaan itu, atau dakwaan itu tidak berasas?

Sebagai sebuah negeri yang mengamalkan sistem Persekutuan, saya percaya bahawa kerajaan Pusat telah berusaha sedaya upaya untuk memenuhi kehendak rakyat di seluruh negara.

Bagaimanapun, memang ada ruang untuk diperbaiki, termasuk memberi peluang yang lebih banyak kepada anak Sarawak mendapat pekerjaan di sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan, termasuk dengan Petronas. – Sarawakvoice.com