Retorik politik Tunku, Tan Cheng Lock dan Sambanthan bagi mencapai kemerdekaan

Retorik melalui ucapan atau wawasan memainkan peranan penting dalam mempengaruhi rakyat pelbagai kaum di Malaya supaya menyokong gagasan kemerdekaan pada tahun 1950-an.

Peranan tiga pemimpin parti utama, iaitu Tunku Abdul Rahman, presiden UMNO; Tan Cheng Lock, presiden MCA; dan V.T.Sambanthan presiden MIC amat penting dalam menggerakkan rakyat, melalui parti dan ucapan masing-masing supaya mendukung gagasan dan wawasan bersama mereka.

FEATURE_Tommy02_TunCLSmbnthn

Tunku yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1902 telah memberikan sumbangan bermakna ke arah membebaskan Malaya daripada cengkaman penjajah. Beliau telah berjaya memujuk kaum Melayu dan Cina supaya hidup bersama dalam keadaan politik yang harmoni, serta meyakinkan pihak British bahawa Malaya mampu memerintah sendiri, dan perlu diberikan kemerdekaan.

Bagi Tan Cheng Lock yang dilahirkan di Melaka pada tahun 1883 pula, beliau yakin bahawa pelbagai kaum di Malaya, dapat disatukan dalam kesatuan politik sebuah negara, di bawah sebuah kerajaan.

Sementara Sambanthan, yang dilahirkan di Sungai Siput, Perak, pada tahun 1919, telah membawa MIC supaya bergabung dengan UMNO dan MCA sehingga lahirlah Parti Perikatan. Meskipun dikritik hebat dari dalam partinya sendiri kerana usahanya untuk menyatukan kaum India dengan kaum lain, beliau tidak mengendahkan kritikan tersebut, kerana yakin hanya melalui perpaduan, rakyat pelbagai kaum dapat membawa negara ini ke hadapan.

Apakah yang memungkinkan ketiga-tiga pemimpin berkenaan dapat bersatu dari segi wawasan dan ucapan mereka? Hakikat bahawa mereka merupakan pemimpin yang berpandangan jauh dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan diri dan parti, merupakan antara faktor penting lahirnya hasrat berkenaan. Mereka juga bimbang akan ancaman komunis.

Oleh sebab mereka berlatar belakang pendidikan yang sama, iaitu pendidikan Inggeris, hal ini memudahkan mereka saling memahami dan seterusnya bekerjasama.

Tunku, Tan Cheng Lock dan Sambanthan

Peranan retorik dalam menunduk dan memujuk rakyat pelbagai kaum supaya berdiri di belakang perjuangan masing-masing akhirnya telah menyebabkan mereka berjaya memerdekakan negara ini. Dengan menggunakan UMNO, MCA dan MIC sebagai platform, ketiga-tiga pemimpin terbabit telah melontarkan pelbagai pandangan, idea dan pandangan ketika memperjuangkan kemerdekaan negara. Kesatuan wawasan dan kejituan iltizam telah menggerakkan mereka untuk bersama-sama mengetepikan perbezaan untuk kepentingan, kebajikan dan masa depan rakyat.

Tentu ada sesuatu yang dapat dipelajari daripada pemimpin terdahulu, yang sanggup mengetepikan perbezaan demi masa depan negara. Tentu ada sesuatu yang dapat dijadikan iktibar oleh generasi kini daripada perjuangan dan pengorbanan mereka bertiga. Jika pada hari ini, sesetengah pemimpin daripada pelbagai parti, termasuk dalam pakatan atau barisan yang sama, kelihatan berkelahi dalam sesetengah isu, mungkin ada baiknya mereka menyelak kembali lembaran sejarah dan meneliti kembali ucapan ketiga-tiga pemimpin berkenaan.

Ketika pihak British tidak yakin akan keupayaan kaum Melayu dan Cina untuk bersatu, pemimpin terbabit telah membuktikan tanggapan British itu tidak betul. Pihak British telah meletakkan syarat, pentingnya masyarakat pelbagai kaum di Malaya bersatu padu sebelum kemerdekaan dapat diberikan. British pula tidak menjangka prasyarat itu dapat dipenuhi oleh pemimpin berkenaan. Akhirnya, pihak British terpaksa akur, lalu memberikan kemerdekaan kepada Malaya.

Sebagai pemimpin Perikatan, Tunku, Tan Cheng Lock dan Sambanthan telah berjaya menyatupadukan rakyat pelbagai kaum melalui pelbagai strategi retorik, terutamanya bersangkutan isu perpaduan dan kemerdekaan.

Konflik, pertelagahan dan perbezaan pendapat antara kaum Melayu dengan bukan Melayu berjaya diketepikan atau dikurangkan. Masyarakat pelbagai kaum berjaya berbuat demikian kerana mereka bersedia berkompromi atau bertolak ansur dalam pelbagai isu dan perkara, termasuk soal kewarganegaraan, bahasa kebangsaan dan agama rasmi negara.

Melalui wawasan retorik atau ucapan yang disampaikan di hadapan kaum masing-masing, mereka akhirnya berjaya meyakinkan rakyat pelbagai kaum tentang peri pentingnya perpaduan kaum ditunjukkan kepada British sebelum kemerdekaan berjaya digapai. Sesungguhnya, pemimpin terbabit telah memperlihatkan perjuangan bersama melalui wawasan retorik berlandaskan “tema fantasi” dan janji kepada rakyat yang sudah lama ingin keluar daripada cengkaman penjajah.

Ketiga-tiga pemimpin yang berjuang atas landasan perpaduan itu berjanji untuk terus melindungi dan mempertahankan hak, kepentingan dan kebajikan kaum masing-masing. Hal ini ketara jika kita menganalisis ucapan yang disampaikan dalam perhimpunan agung UMNO, MCA dan MIC menjelang kemerdekaan.

Ucapan mereka menekankan soal perpaduan dan kesatuan masyarakat pelbagai kaum di Malaya. Dalam ucapan Tunku, beliau menitikberatkan kesediaan kaum Melayu untuk bekerjasama dengan kaum bukan Melayu berlandaskan “tema fantasi”, seperti hubungan antara kaum. Bagi beliau, kekuatan UMNO kerana sokongan ahlinya dalam perjuangan parti itu. Malahan, menurut beliau, masa depan UMNO banyak bergantung pada sifat kerjasama dan perpaduan ahlinya.

Dari segi hubungan antara kaum, dalam ucapannya, beliau menekankan pentingnya kaum Melayu dan bukan Melayu bersatu dan bekerjasama. Beliau turut menekankan bahawa Parti Pakatan merupakan wadah terbaik untuk menyatupadukan ketiga-tiga kaum.Pada waktu yang sama, Tunku juga menyerang pihak komunis melalui ucapannya.

Bagi Tan Cheng Lock pula, melalui ucapannya, didapati bahawa beliau menekankan perlunya kaum Cina bekerjasama dengan kaum Melayu, sambil menyerang pihak pembangkang yang dianggapnya bersikap perkauman dan cuba memecahbelahkan Perikatan. Malah, beliau mendakwa pembangkang menggunakan pihak asing untuk menggerakkan kempen politik mereka.

Beliau menyakinkan masyarakat Cina, melalui retoriknya, bahawa MCA dan Perikatan akan berusaha menyelesaikan masalah kewarganegaraan kaum Cina, isu yang begitu dekat di hati kaum Cina pada waktu itu.

Bagi beliau, ahli MCA perlu bersatu padu, kerana MCA merupakan parti yang bakal membawa cahaya kepada kaum Cina. Beliau menyatakan bahawa MCA bersedia menjalin kerjasama dengan UMNO dan MIC bagi menyelesaikan masalah semua kaum di Malaya.

Bagi Sambanthan pula, Parti Perikatan mewakili keperluan dan aspirasi semua kaum di Malaya.

Beliau meyakinkan kaum India bahawa, Parti Perikatan akan memastikan bahawa mereka juga mempunyai hak di Malaya. Oleh itu, mereka perlulah bekerjasama sepenuh hati dengan kaum lain, kerana inilah syarat yang membolehkan keharmonian dan perpaduan di Malaya. Beliau turut menyatakan bahawa MIC akan membantu kaum India yang layak mendapatkan taraf kewarganegaraan.

Ditinjau dari semua segi, ketiga-tiga pemimpin itu memperlihatkan kesediaan untuk bekerjasama, bertolak ansur, dan mengetepikan perbezaan, sambil tidak mengabaikan usaha untuk memperjuangkan hak dan kebajikan kaum mereka melalui parti masing-masing. Ternyata Parti Perikatan dianggap sebagai wadah yang akan membawa masyarakat pelbagai kaum ke hadapan dan mencapai kemerdekaan.

Oleh itu, mereka menyeru dan merayu, melalui ucapan dalam pelbagai majlis, termasuk perhimpunan agung parti, supaya bersatu di bawah payung Perikatan. Hal ini yang menjadi rahsia kejayaan mereka membebaskan Malaya daripada cengkaman penjajah. – Sarawakvoice.com