PAS sifatkan dakwaan Sarawak Report ibarat peluru yang sudah sejuk

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan dakwaan Sarawak Report bahawa parti itu menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ibarat peluru yang sudah sejuk.

Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Aziz berkata, segala tuduhan terhadap PAS selama ini hanyalah fitnah dan khayalan semata-mata.

“Tetapi bukan sahaja ia adalah satu tuduhan dan kebatilan yang nyata, bahkan PAS kini bukan sahaja menjemput lebih ramai golongan profesional untuk lebih berperanan, bahkan PAS turut menerima kehadiran lebih ramai para ilmuan pemegang ijazah tertinggi bagi membantu PAS di semua peringkat terutama pada peringkat pembuat dasar dan polisi parti,” ujarnya dalam catatan Facebook peribadinya.

Beliau menyindir, jika kita dinasihatkan agar menjauhkan diri dan anak-anak daripada permainan Pokemon Go, maka adalah lebih wajar kita pakat-pakat nasihatkan orang-orang tua dan anak muda daripada Pokemon Go versi politik fitnah dan karut marut ini.

Anak bekas Mursyidul Am PAS itu turut mempersoalkan kesungguhan Sarawak Report yang mencuba sedaya upaya untuk memburukkan nama parti Islam itu demi merosakkan hubungan dengan penyokong peringkat akar umbi.

Nik Abduh mengakui pada  awalnya beliau tidak mempedulikan tuduhan portal tersebut, tetapi kemudiannya terpanggil apabila melihat kesungguhan portal itu untuk menghentam PAS.

“Saya agak hairan melihat kesungguhan tahap ‘jihad fi sabil at thaghut (selain Allah)’ oleh para penjual semangat dedak yang diratib (disebut) awalnya oleh Tun Mahathir yang saya pernah doakan dan nasihatkan agar beliau lebih banyak kembali ke tikar sejadah atau kerap mengerjakan umrah di kota Mekah agar otak dan hatinya kembali lapang buat Islam menuju alam barzakh sebagaimana pesaing politik utamanya iaitu almarhum ayahanda tuan guru,” katanya.

“Maka, agar rakyat kembali memburu dan menuding PAS sebagai punca kegagalan projek segera menjatuhkan BN, maka game Pokemon Go versi dedak 90j dimainkan dan bomoh baru dari UK dijemput untuk meniupkan mantera jampi serapahnya,” ujarnya. – Sarawakvoice.com