Dakwaan Sarawak Report tidak berdasarkan bukti, kata Pas

KUALA LUMPUR: Pas Selangor membidas laporan tidak bertanggungjawab Sarawak Report yang mendakwa pemimpin parti Islam itu menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, dakwaan itu bukan berdasarkan fakta atau bukti,  sebaliknya berdasarkan kecurigaan yang meluas.

Oleh yang demikian, katanya, dakwaan itu adalah khabar-khabar angin semata-mata.

“Khabar angin yang kami yakin diwujudkan oleh mereka yang berniat jahat untuk memburukkan Pas,”  ujarnya dalam satu kenyataan.

“Kami juga yakin rakyat akan menolak dakwaan ini kerana ia adalah tidak lebih dari ‘sembang-sembang kedai kopi’,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, jika ‘sembang-sembang kedai kopi’ boleh dianggap sebagai bukti yang kukuh, maka masyarakat akan menjadi huru-hara. – Sarawakvoice.com