Pemuda Pas kecewa pergolakan politik Terengganu

KUALA TERENGGANU: Pemuda Pas negeri kecewa dengan pergolakan politik di negeri ini, namun berjanji tidak akan mencampuri konflik dalaman berkenaan.

“Sehubungan itu, kami merakamkan kekecewaan anak muda Terengganu di atas kelemahan Menteri Besar dan UMNO menyelesaikan krisis yang tidak berkesudahan, “ kata Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Kamaruzaman Abdullah dalam satu kenyataan.

Pertelingkahan tercetus antara Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman dengan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sehingga menimbulkan banyak teka-teki dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Kedua-dua pemimpin terbabit saling menuding jari dan mengkritik.

Kamaruzaman berkata, kerajaan negeri sepatutnya menumpukan perhatian terhadap pentadbiran, termasuk  mengurangkan bebanan kos bayaran tol di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), pemerkasaan kebajikan rakyat dan menjayakan Tahun Melawat Terengganu 2017.

“Kami akan meneliti segala pilihan yang sesuai bagi memastikan kemelut dan krisis ciptaan Umno tidak berterusan mengganggu kestabilan negeri,” kata Kamaruzaman.

Beliau menggesa supaya kestabilan kerajaan negeri dapat dipulihkan dengan segera melalui perbincangan demi kepentingan rakyat Terengganu secara keseluruhannya.

Kenyataan beliau dibacakan oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, semalam. – Sarawakvoice.com