Bila Umno akan ambil tindakan disiplin terhadap Ahmad Said?

KUALA TERENGGANU: Kejutan yang digembar-gemburkan berlaku dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu tidak berlaku pagi tadi.

Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said  berkata tidak akan ada serangan mengejut kerana semua pihak sudah bersiap sedia.

Menganalogikannya seperti perang, beliau berkata, tidak akan melakukan serangan.

“Ia macam perang juga. Kalau orang bersiap sedia kita pun tak jadi,” katanya kepada media di pekarangan Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Tetapi air yang tenang jangan pula disangka tiada buaya. Serangan boleh berlaku pada bila-bila masa.

Minggu lalu terdapat desas-desas usul undi tidak percaya akan dikemukakan dalam DUN, namun dinafikan Menteri Besar  (MB) Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman.

Adun Kijal itu boleh lakukan apa-apa saja untuk timbulkan ketidakstabilan terhadap Barisan Nasional.

Kini Umno mempunyai 17 kerusi, manakala pembangkang pula 15 kerusi dalam DUN.

Jika Ahmad Said bertindak keluar Umno dan menjadi wakil Bebas, ini akan meletakkan BN dalam bahaya.

Berbeza daripada ketika menjadi MB dahulu, pagi tadi Ahmad Said datang tanpa rombongan dan sambutan hangat.

Sebaliknya, bagi MB Terengganu, Ahmad Razif, sekumpulan penyokong dengan kain rentang menyambut beliau.

Setidak-tidaknya, ini merupakan satu strategi politik yang bagus. Ada juga orang yang memberi semangat ketika dia diserang dari luar dan dalam, termasuk Adun Umno sendiri.

Sampai bilakah perang antara dua Ahmad ini akan berlaku?

Ahmad Said berkata tidak akan membiarkan sesiapa untuk menyerang beliau.

“Kalau orang serang saya, saya akan serang. Takkan nak biar,” tegasnya.

Berbeza dengan Razif yang disambut sekumpulan penyokong, Ahmad Said hanya hadir seorang diri.

Sekitar 100 penyokong Ahmad Razif berkumpul menyatakan sokongan terhadapnya dengan kain rentang  menyambut kedatangannya. Kain rentang itu berbunyi: “Kami menyokong penuh kepimpinan Ahmad Razif,” “#respekmyMB”. Terdapat juga pelekat “Hidup MB” dan “Teruskan TTB” (Transformasi Terengganu Baru).

Mereka turut melaungkan  “Hidup MB”.

Persoalannya, selama manakah MB Ahmad Razif dapat bertahan?

Dan, selama mana pula Ahmad Said berteka-teki dan bermain sandiwara?

Dan, sampai bila pemimipn  tertinggi dapat bersabar dan melayan kerenahnya? – Sarawakvoice.com