Pemuda Amanah gesa MB adakan pilihan raya mengejut

KUALA TERENGGANU: Pemuda Amanah Negeri Terengganu menggesa Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman  agar segera membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terenggganu untuk membolehkan pilihan raya mengejut diadakan.

Ketua Pemudanya Hasbi Muda berkata, hal ini susulan pentadbiran kerajaan negeri di bawah Ahmad Razif yang lemah dan tidak stabil ketika ini.

“Gesaan ini selaras dengan peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu dan Menteri Besar sewajarnya bertindak cepat untuk mengembalikan mandat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

“Lebih memburukkan keadaan apabila istana sendiri seolah-olah tidak mengiktiraf beliau apabila menarik semula gelaran kebesaran yang telah dikurniakan sebelum ini.

“Walau keadaan mungkin sukar buat pembangkang memandangkan Pas sendiri seolah-olah tiada “political will” untuk menggantikan Umno sebagai kerajaan, ” katanya.

Dilaporkan menjelang sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu pada 8 Ogos ini, kemungkinan berlaku sekali lagi usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif ekoran cadangan memecat bekas MB Datuk Seri Ahmad Said.

Selain Ahmad Said, seorang lagi Adun yang mempertikaikan kepemimpinan Ahmad Razif ialah Adun Ajil, Ghazali Taib.

Sebelum ini, Ahmad Said pernah cuba mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar.

Ahmad  Said disifatkan duri dalam daging bagi UMNO dan BN. Sementara kes Ahmad menunggu Majlis Tertinggi UMNO untuk mengambil keputusan tindakan disiplin, tetapi ia bukanlah mudah kerana sebarang keputusan yang tidak memihak kepada beliau boleh menggugat kedudukan BN di negeri ini.

Beberapa bulan lalu, Sultan Terengganu telah menarik balik gelaran Datuk Seri daripada Ahmad Razif, menandakan ada sesuatu yang tidak kena dari segi hubungan beliau dengan baginda. – Sarawakvoice.com