Kuching sebagai Bandar Raya Perpaduan

Dr Jeniri Amir
Dr Jeniri Amir

Nama Kuching sudah digunakan sebelum James Brooke menjejakkan kakinya di Sarawak pada 1839.  Pelbagai teori bagaimana bandar ini mendapat nama, dengan yang lebih popular ialah berdasarkan nama haiwan – kucing, namun orang Melayu Sarawak, memanggilnya pusak, dan bukannya kucing.

Hakikatnya, di Kuching, suatu ketika dahulu ada Bukit Mata Kuching, dan di sekitarnya terdapat banyak pokok mata kucing, serta merentangi kawasan itu ialah Sungai Kuching, kawasan banyak kucing hutan berkeliaran. Mungkin itulah punca bandar raya yang kini punya 700,000 penduduk, diberi nama sedemikian.

Pada 1 Ogos 2015, sempena ulang tahun ke-27, Kuching diiktiraf dan diisytihar sebagai Bandar Raya Perpaduan oleh Yayasan 1Malaysia. Inilah bandar raya perpaduan pertama diisytiharkan di dunia. Kuching memang wajar dijadikan sebagai bandar ikon dan suri teladan perpaduan di negara ini.  Mengapa Kuching, dan bukan bandar lain diangkat sebagai Bandar raya Perpaduan?

Penduduknya terdiri daripada sekitar 40 etnik dan subetnik, menjadikan bandar raya bersejarah itu begitu berwarna-warni.  Pengiktirafan itu wajar diraikan dan dibanggakan semua. Kuching bukan sahaja bersih, cantik dan selamat, tetapi penduduknya hidup aman damai.

Tidak terdapat ketegangan dan konflik etnik tercetus, apatah lagi keganasan babitkan hubungan etnik. Sesiapa yang pernah ke bandar raya ini, pasti kagum bagaimana pelbagai etnik berinteraksi dengan begitu selesa di kedai kopi dan kedai makan, di padang permainan, atau mana-mana aktiviti sosiobudaya. Bukan aneh jika terdapat gerai Melayu dan bumiputera lain dalam kedai yang turut menjual makanan untuk bukan Islam.

Kedai makan menjadi tempat mereka berinteraksi, sekali gus mengikiskan sebarang bara prasangka, selain mengukuhkan lagi hubungan etnik. Interaksi seharian yang tiada batas etnik yang dibajai dan dipupuk sejak zaman-berzaman, lebih-lebih lagi selepas berlakunya fenomena migrasi dari luar bandar oleh etnik-etnik peribumi dari pedalaman dan pesisiran.

Screen Shot 2016-08-02 at 9.02.38 AM

Mereka menjadikan Kuching sebagai tempat belajar, atau mencari pekerjaan, sehingga akhirnya mengambil keputusan menetap di bandar raya itu. Penduduk pelbagai etnik yang mendiami  pelbagai kawasan perumahan moden di Kuching mencerminkan hakikat itu. Pelbagai kemudahan, termasuk pusat beli-belah, padang permainan dan stadium menyediakan wadah untuk berinteraksi secara lebih bermakna.

Masyarakat berbilang etnik mampu melakar perpaduan melalui aktiviti ekonomi, budaya, sukan dan seumpamanya.

Dari segi politik, di Kuching terdapat parti politik paling pelbagai keahliannya. Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti tulang belakang Barisan Nasional Sarawak, dianggotai masyarakat pelbagai etnik peribumi. Malah, parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), parti majroti Cina turut dianggotai etnik peribumi. Permuafakatan politik yang menampung aspirasi pelbagai etnik melalui sesebuah parti politik menjamin kestabilan dan keharmonian, serta kemajuan masa depan.

Di Kuching banyak sekolah, terutama sekolah bantuan kerajaan yang diasaskan mubaligh Kristian, menempatkan pelajar daripada pelbagai etnik. Sejak tahun 1930-an dan 1950-an lagi, sekolah terbabit yang turut menawarkan mata pelajaran Bible, menjadi tumpuan pelajar pelbagai etnik, termasuk pelajar Islam disebabkan prestasi cemerlang dalam pelajaran dan peperiksaan, serta asuhan disiplin yang ketat.

Tidak ada pun pelajar Islam yang memeluk agama Kristian seperti dibimbangi segelintir pihak di Semenanjung ketika ini. Sebaliknya, akidah dan kepercayaan mereka terhadap Islam semakin kukuh. Di sekolah itulah, pelajar Islam memahami ajaran Kristian, dan ada daripada pelajar daripada sekolah berkenaan, menjadi pentadbir, ahli korporat dan pemimpin politik terkemuka.

Mereka inilah yang melakarkan perjalanan politik dan pentadbiran Sarawak, serta bagaimana hubungan etnik dicorakkan di bandar raya ini dan negeri Sarawak.

Sesungguhnya, Kuching mencerminkan semangat perpaduan yang tulen. Masyarakatnya sensitif terhadap sempadan budaya dan agama. Kadar perkahwinan antara etnik di adalah tinggi berbanding bandar raya lain. Perkahwinan campur dalam kalangan pelbagai etnik menjadikan penduduk Sarawak dan generasi kini dan akan datang, semakin faham akan budaya, kepercayaan dan agama etnik lain.  

Kesepaduan dalam kepelbagaian bukan sekadar slogan, tetapi diterjemahkan dalam kehidupan seharian, tanpa ada puak atau individu yang sengaja mengocakkan ketenangan dalam kehidupan seharian. Memang, Kuching cermin semangat 1Malaysia sebenar.

Kuching perlu terus bergerak ke hadapan dan menjadi contoh terbaik bagaimana masyarakat pelbagai etnik perlu berinteraksi dan bekerjasama bagi memastikan pembangunan terus dapat dirancakkan. – Sarawakvoice.com