Ahmad Said, bekas MB Terengganu sedia dipecat

KEMAMAN: Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said sedia dipecat oleh UMNO.

Beliau akan akur kepada keputusan Majlis Tertinggi jika itu yang dimahukan oleh mereka, kata beliau.

Berkata demikian kepada media di satu majlis di sini semalam, Ahmad berkata: “Saya tak ada masalah dan akur apa juga keputusan yang dimuktamadkan.”

Dalam satu mesyuarat tertutup di Kuala Lumpur beberapa hari lalu, difahamkan terdapat gesaan pihak tertentu agar beliau dipecat kerana lantang mengkritik kerajaan, selain mengemukakan usul tidak percaya terhadap kepemimpinan Menteri Besar, Ahmad Razif  Abdul Rahman yang dilucutkan gelaran oleh Sultan Terengganu.

Pada Mei 2014 Ahmad Said pernah keluar daripada UMNO dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil Bebas, tetapi kemudiannya mengubah pendiriannya.

Pada 12 Mei 2014 Ahmad meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar, dan jawatan itu diambil alih oleh Ahmad Razif.

Beliau dilantik sebagai Menteri Besar pada 23 Mac 2008.

Jika beliau dipecat, bermaksud jumlah kerusi DUN Terengganu adalah seimbang, iaitu 16-16 antara Barisan Nasional dengan pembangkang.

Ketua Bahagian Kemaman itu berkata, untuk ketika ini beliau akan terus menumpukan perhatian kepada tugasnya sebagai ADUN Kijal. – Sarawakvoice.com