Pas kritik DAP: Pilihan raya mengejut perjudikan proses demokrasi

KUALA LUMPUR:  Pas mengkritik hasrat DAP untuk mengadakan pilihan raya mengejut  dan menyifatkannya sebagai memperjudikan proses demokrasi.

Nasrudin Hassan-0000Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata: “Sekiranya benar DAP mahu mengukur tahap keyakinan terhadapnya, tindakan yang lebih berobjektif yang patut dilaksanakan oleh DAP ialah menyegerakan pemilihan parti; bukannya menangguhkan lagi proses itu.”

“Keyakinan ahli-ahli parti terhadap parti sendiri adalah lebih utama untuk diukur dahulu,” katanya dalam satu kenyataan.

Nasrudin berkata, orang awam tidak boleh diperalatkan dan diheret sama untuk menghakimi kes dakwaan rasuah terhadap setiausaha agung DAP Lim Guan Eng (LGE) berasaskan persepsi semata-mata sehingga menimbulkan prejudis pula terhadap institusi kehakiman dan keputusan yang dibuat olehnya.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berdepan pertuduhan dan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah.

Katanya, pilihan lain adalah dengan mengadakan pilihan raya negeri selepas keputusan telah dibuat oleh mahkamah.

“Barulah rakyat dapat membuat keputusan berdasarkan sesuatu yang telah pasti. Sekiranya LGE didapati tidak bersalah, DAP pasti mendapat sokongan yang lebih padu daripada rakyat Pulau Pinang,” katanya.

Sebaliknya, kata beliau, sekiranya LGE disahkan bersalah pula, rakyat Pulau Pinang terselamat daripada terus memberikan mandat pemerintahan kepada pemimpin dan parti yang tidak cekap, tidak berakauntabiliti dan tidak telus.

“Hakikatnya, ketiadaan kata putus lagi berhubung pilihan raya ini bukanlah kerana menunggu konsensus parti komponen Pakatan Harapan (PH); sebaliknya ialah kerana DAP sendiri tidak meyakini keupayaan dirinya sendiri untuk berhadapan dengan pilihanraya itu,” kata Nasrudin.

“Sekurang-kurangnya dengan persetujuan daripada PKR dan PAN, tidaklah DAP boleh dipersalahkan berseorangan sekiranya keputusan tidak menyebelahi mereka,” katanya.

Nasrudin, bagaimanapun berkata, Pas bersedia bertanding pada bila-bila masa PRN berkenaan diadakan.

Parti Islam itu mengakui  pentingnya ketelusan dan kebebasan institusi kehakiman dalam perbicaraan kes ini dan diberikan ruang sewajarnya untuk melaksanakan tugasnya dengan penuh integriti.

“LGE juga tidak wajar dipersalahkan sehinggalah dibuktikan sebaliknya,” katanya. – Sarawakvoice.com