Selena Gomez  beri tamparan kepada artis Melayu

KUALA LUMPUR:  Pas  mengakui walaupun tidak berjaya membatalkan konsert Selena Gomez, setidak-tidaknya  penyanyi sensasi itu datang dengan pakaian yang lebih sopan daripada sebilangan artis tempatan.

“Jika dibandingkan penampilannya di pentas-pentas konsert negara lain, nampaknya dia memberi penghormatan kepada Malaysia dengan pakaiannya semalam. Satu tamparan hebat buat artis Melayu muslim di Malaysia,” kata Harakah.

Lidah rasmi parti Islam itu berkata, ia merupakan satu kejayaan buat Dewan Pemuda Pas yang membantah.

“Walaupun matlamat asal iaitu membatalkan terus tidak tercapai, setidaknya ia memberi kesan kepada keadaan penganjuran konsert tersebut,”’ kata penulis terbabit.

Katanya: “Ini membuktikan Pas telah memainkan peranan yang betul sebagai pengimbang kepada kerajaan. Itulah peranan parti pembangkang dalam sistem demokrasi.”

Katanya, bukan sekadar memikirkan untung rugi mereka dalam pilihan raya akan datang sahaja, tetapi turut menegur dan memperbaiki urus tadbir kerajaan di luar musim pilihan raya.

“Walaupun tindakan ini hanya memberi imej baik kepada penganjur dan kerajaan, tetapi bantahan dan teguran tetap perlu dilakukan,” tambahnya.

Katanya, Pas tidak boleh hanya fikir keuntungan dari sudut undi sahaja, tetapi lebih penting dari itu adalah mengawal negara semampu mungkin dengan manhaj syariat dan kebijaksanaan dari terbabas dalam bidang kuasa yang ada.

“Sudah berapa banyak corak pentadbiran Kelantan ditiru oleh kerajaan. Sudah berapa banyak demonstrasi dan isu yang Pas suarakan menyebabkan kerajaan terpaksa memperbaiki tindakan mereka,” tambahnya lagi.

Justeru, katanya,  janganlah hanya mengukur kejayaan Pas melalui undi yang diperoleh atau bilangan kerusi di dewan sahaja. – Sarawakvoice.com