Sarawak terus intai pelaburan Asia Timur — Awang Tengah

KUCHING: Sarawak akan terus mensasarkan kawasan Asia Timur seperti China, Korea dan Jepun sebagai rakan dagang kerana negara-negara ini mempunyai ekonomi yang besar dan pelabur yang berwibawa.

Untuk tujuan itu, kata Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan, Perdagangan dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, beliau sendiri akan mengetuai delegasi ke China pada Ogos ini bagi mewujudkan jaringan bersama-sama beberapa wilayah lain di negara itu.

China katanya, sejak hubungan diplomatiknya dengan Malaysia mula terjalin 50 tahun lalu kekal sebagai “rakan dagang penting” Sarawak, yang menyumbang banyak kepada peningkatan pelaburan langsung asing (FDI)nya.

“Ini dibuktikan dengan komitmen syarikat-syarikat dari negara itu menanam modal di negeri ini.

“Sepanjang 2004 hingga 2015, Kerajaan Negeri telah meluluskan lebih RM9 bilion pelaburan dari negara tersebut, dengan yang terbaharu melibatkan dua buah syarikat dari negara itu yang menanam modal sebanyak RM2.266 bilion di Taman Teknologi Sama Jaya.

Jelasnya, pada tahun 2013, jumlah eksport Sarawak ke China mencecah RM8.4 bilion manakala nilai import adalah sekitar RM3.3 bilion.

“Pada tahun 2014 pula, nilai eksport negeri ini ke China bernilai RM7.9 bilion sementara eksport mencecah RM3.9 bilion,” katanya sewaktu berucap pada majlis menandatangani persefahaman di antara Kerajaan Negeri Sarawak dan pentadbir Wilayah Fujian, Republik Rakyat China.

Perjanjian yang julung kali diadakan di antara kedua-dua pihak ini akan merangkumi pemerkasaan ekonomi dan kerjasama perdagangan, terutama peluang-peluang pelaburan dan perdagangan.

“Kerjasama ini akan turut berusaha mempercepat konektiviti di antara kedua-dua wilayah baik melalui udara mahupun laut sekali gus memperkukuh jalinan perniagaan dan sosial.

“Pada masa yang sama, kerjasama ini akan memperkukuh hubungan di antara sektor swasta dan agensi kerajaan di antara kedua-dua wilayah, sambil mewujudkan jalinan program kebudayaan dan pendidkan, termasuk memboleh pelajar Sarawak mendalami bahasa Cina di Fujian,” katanya.

Menjelas lanjut, Awang Tengah berkata, ekonomi Sarawak yang stabil seharusnya memberi keyakinan kepada para pelabur, terutama dengan kejayaannya mengekalkan pertumbuhan tahunan daripada 4 ke 5 peratus, ketika ekonomi global berada dalam keadaan tidak menentu.

“Ekonomi Sarawak merupakan yang ketiga terbesar di negara ini, dengan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) mencecah RM102 bilion dan KDNK per kapita berjumlah RM44,437.

Pada 2015, Sarawak mencatatkan nilai eksport sebanyak RM90.2 bilion berbanding RM116.6 bilion (2014) dan RM108.4 bilion (2013).

Wilayah Fujian yang seluas 121,400 km persegi merupakan potensi pasaran yang besar bagi usahawan Sarawak kerana memiliki lebih 37 juta populasi. – Sarawakvoice.com