Hanya politik muafakat dan perkongsian pintar mampu tumbangkan BN, kata PKR Selangor

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Shuhaimi Shafiei mengesyorkan supaya parti pembangkang mengamalkan konsep politik muafakat dan perkongsian pintar bagi mengukuhkan hubungan pakatan politik dengan mana-mana gabungan parti yang membawa agenda reformasi.

Shuhaimi ShafieiKonsep tersebut dalam  kalangan parti pembangkang, katanya, perlu bagi mengelakkan pertembungan pandangan mahupun pendirian politik yang keterlaluan di media massa.

Shuhaimi  berkata, sekiranya politik muafakat dan perkongsian pintar tidak dimulakan dengan segera serta strategik, Pakatan Harapan akan berdepan kesukaran untuk menawan Putrajaya disebabkan oleh pertembungan pandangan.

Beliau turut mengingatkan bahawa Umno-BN sebelum ini telah mengambil kesempatan atas perbezaan pendapat yang dihadapi Pakatan Harapan dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar pada 18 Jun.

Amanah dan PAS bertembung sesama sendiri sehingga menyebabkan Barisan Nasional mampu meningkatkan undi majoriti berlipat kali ganda.

Katanya, mereka menang bukan kerana mereka kuat atau rakyat telah menerima mereka malah semua pihak tahu Umno Selangor sangat lemah dan mereka meraih kemenangan itu secara mudah dengan ‘menahan lukah di pergentingan’.

“Mereka bergantung pada kehebatan ‘menangguk di air keruh’ untuk mencapai sasaran kemenangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau  menyeru agar rakan-rakan Pakatan Harapan,  iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP  supaya menjayakan pelan politik muafakat  dengan gabungan parti pembangkang di peringkat persekutuan yang akan membabitkan pelbagai latar belakang parti, NGO dan bekas pimpinan kerajaan persekutuan.

Menurut Shuhaimi, kekuatan gabungan PKR, Amanah, DAP, PAS serta parti-parti lain akan membawa suatu bentuk momentum kemenangan politik yang berkesan bagi menumbangkan Umno-BN dalam Pilihan raya Umum Ke-14 akan datang.

Dengan merujuk kepada prestasi dalam PRU13, beliau berkata ia dicapai  hasil gabungan kuat parti pembangkang, sehingga berjaya membentuk  kerajaan negeri di Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang atas nama Pakatan Rakyat (PR).

“Ia telah menjadi suatu bukti bahawa tanpa Umno-BN mentadbir negeri-negeri tersebut, kita berjaya meningkatkan indeks pembangunan ekonomi serta infrastruktur yang membanggakan jauh meninggalkan negeri yang ditadbir oleh Umno-BN,” katanya. – Sarawakvoice.com