Pas Sabah buka pintu kepada ahli Umno yang kecewa

KOTA KINABALU: Parti Islam Se-Malaysia(PAS) Sabah bersedia membuka pintunya kepada ahli Umno yang dipecat menyertai parti itu.

10470238_784856018272725_8898401013268720385_nPesuruhjaya Pas Sabah, Mohd Aminuddin Aling berkata, sudah tiba waktunya mereka terbabit beralih kepada parti Islam itu.

“Saya beranggapan sudah tiba masanya ahli Umno beralih kepada Pas. Ini kerana perjuangan Pas dari sejak ditubuhkan mempunyai matlamat yang jelas dan tidak berjaya dipermainkan oleh musuh ataupun kawan,” katanya melalui satu kenyataan.

Pelawaan itu ditujukan kepada ahli Umno yang kecewa atas pemecatan mantan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta penggantungan Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Afdal .

Berdasarkan laporan media, difahamkan di Semporna sahaja, ketua 300 cawangan Umno keluar parti berkenaan.

“Pas Sabah melihat Umno sudah tidak boleh diubah. Bayangkan orang nombor dua dalam kerajaan dan parti sendiri boleh dipecat hanya kerana menyuarakan soal 1MDB  dan sumbangan RM2.6 bilion,” katanya.
Bagi beliau, Pas mendidik manusia keseluruhannya supaya berpolitik tanpa melupakan konsep ketuhanan.

“Hanya dengan rasa bertuhan sahaja dunia ini boleh diurus dengan sempurna,” katanya. – Sarawakvoice.com