Perdana Menteri ajak umat Islam hentikan perbuatan buruk-burukkan orang lain

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mengajak umat Islam supaya menghentikan perbuatan memburuk-burukkan orang lain dan  segala persengketaan pada bulan Ramadan ini.

Sebaliknya, beliau menasihati umat Islam supaya memanfaatkan bulan Ramadan yang mulia ini dengan amalan yang baik.

13439034_10153589299825952_2443533184440404442_n“Kurangkan melakukan kerja yang tidak mendatangkan manfaat dan hentikan perbuatan memburuk-burukkan orang lain,” kata Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan audio yang dimuat naik di laman Twitter beliau, semalam.

Najib juga mengajak umat Islam melakukan ibadat dan solat tarawih bersama-sama dengan keluarga dan sahabat handai.

Katanya: “Sekiranya kita semua dapat bersama-sama menggunakan bulan Ramadan ini untuk memperbanyakkan ibadat tanpa membangkitkan perkara yang mengundang perselisihan, nescaya kita akan dapat menikmati keindahan bulan Ramadan ini sepenuhnya.”

Beliau berkata Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan dan umat Islam seharusnya berusaha memperbaiki diri dan menghentikan segala perbalahan.

Katanya, semua pihak harus kembali bermaaf-maafan, mengetepikan perbezaan dan meningkatkan amalan pada  bulan Ramadan. – Sarawakvoice.com