Pemecatan bukti keberanian dan keyakinan Najib

KUALA LUMPUR: Masa yang tepat penting apabila hendak mengambil tindakan drastik.

Itulah perkiraan utama yang menjadi pegangan Presiden Umno ketika memecat Timbalan Presiden Umno yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Jumaat. Naib Presiden Umno Datuk Shafie Afdal pula digantung.

Mengapa dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, semalam? Mengapa tidak sebelumnya?  Adakah semua itu membayangkan keyakinan tinggi Datuk Seri Najib Razak selepas kemenangan besar dan bergaya di Sarawak, Kuala Kangsar, dan Sungai Besar?

Tidak dinafikan, Najib mahu buktikan terlebih dahulu kepada pengkritik beliau bahawa kepemimpinannya mendapat dukungan rakyat di sebalik pelbagai kritikan pembangkang dan Tun Dr Mahathir Mohamad. Kemenangan berkenaan memberi kekuatan dan semangat tinggi kepada beliau bahawa rakyat menyebelahinya.

Dengan kemenangan berkenaan, jelas referendum rakyat ialah menyokong kepemimpinannya ketika Dr Mahathir mahu beliau berundur.

Tindakan itu membayangkan keberanian beliau untuk berdepan risiko, kerana pasti para penyokong pemimpin yang dipecat dan juga penyokong bekas Perdana Menteri, tidak akan berdiam diri. Mereka  tentu akan mengasak berterusan sehingga pilihan raya umum nanti.

Sesungguhnya, pemecatan tidak dapat dilewatkan. Lebih baik tindakan  diambil sekarang daripada melewat-lewatkannya. Anai-anai tidak boleh dibiarkan  merosakkan tiang rumah dari dalam, kalau tidak rumah akan roboh dan semua penghuninya akan binasa.

Itulah sebabnya, cadangan sesetengah pihak supaya diawalkan PRU tidak begitu sesuai difikirkan ketika ini.

Bagaimana kesan pemecatan ini ditangani amat penting. Najib perlu merencanakan strategi ampuh bagi memastikan pemberontak dalam parti dan para penyokong mereka ditangani dengan berkesan. Kalau tidak, kesannya berlarutan hingga menjelang PRU nanti.

Adakah Najib hendak membiarkan dengan pemberontak dan pengkritik tegar itu? Adakah mana-mana pemimpin yang boleh membiarkan mereka mengkritik dari dalam parti?  Jelas,  mereka telah melanggar disiplin dan mengkritik parti secara konsisten, dan Najib sebenarnya telah lama bersabar.

Jalan terbaik adalah menuju pintu keluar kepada mereka. Ke mana haluan mereka selepas ini, adalah menjadi pilihan mereka. Mereka boleh sahaja berteriak di atas pentas pembangkang. – Sarawakvoice.com