Jangan berbalah: Guna klia2, bukan LCCT2

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menasihati supaya perbalahan antara  AirAsia Berhad dengan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) perlu dihentikan, sebaliknya kedua-dua pihak hendaklah bekerjasama demi kepentingan rakyat dan negara.

13422373_1017704875010364_4806522587271203072_oNasihat itu ekoran hasrat AirAsia Berhad untuk menggunakan nama LCCT2 bagi merujuk klia2 meskipun tidak dipersetujui oleh MAHB.

Justeru, nama Kuala Lumpur International Airport 2 (klia2) tidak akan ditukar kerana ia didaftarkan dalam Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa sebagai sebahagian daripada kod rasmi KLIA, iaitu “KUL”.

Bagi Tiong Lai, klia2 merupakan jenama yang sudah mantap dan digunakan sejak dua tahun lalu, maka adalah tidak praktikal untuk mengubahnya.

“Tidak perlu, tidak praktikal dan tidak tepat untuk menamakan semula klia2,” katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa nama tidak perlu diubah semata-mata untuk perubahan.

Menjelas lanjut, Tiong Lai mengakui keinginan AirAsia untuk menjenamakan semula klia2 sebagai terminal kos rendah sama seperti LCCT2 sebelum ini, sebagai antara azam syarikat tambang murah syarikat berkenaan untuk membawa masuk lebih ramai penumpang terutama pelancong ke negara ini.

“Kerajaan sentiasa menyokong syarikat penerbangan tambang murah negara, terutamanya AirAsia. Kami gembira AirAsia dapat memainkan peranan menjadi satu daripada syarikat penerbangan tambang murah terbesar di dunia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, ini termasuk menyediakan insentif seperti caj perkhidmatan penumpang yang rendah bagi menggalakkan pertumbuhan sektor penerbangan tambang rendah di negara ini.

Namun beliau berkata: “Kerajaan sedia untuk mendengar sebarang cadangan untuk meletakkan klia2 sebagai peneraju terminal tambang rendah bagi merancakkan industri pelancongan dan penerbangan negara.”

Kelmarin, Ketua Pegawai Eksektif AirAsia Berhad, Aireen Omar menyatakan pendirian tegas bahawa pihaknya akan meneruskan kempen mempromosikan klia sebagai LCCT2.

Namun, hal ini tidak dipersetujui oleh Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali. Beliau berkata pihaknya akan terus menggunakan nama  klia2 selari dengan hakikat bahawa kerajaan sudah mempertimbangkan pelbagai faktor dalam menetapkan pendirian itu. – Sarawakvoice.com