Permohonan dua minggu sebelum ceramah agama untuk kaji latar penceramah – Abang Johari

KUCHING:  Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg semalam menegaskan, tindakan kerajaan untuk memastikan semua penceramah agama yang hendak berceramah di negeri ini membuat permohonan kebenaran terlebih dahulu bukan bertujuan untuk mengawal atau menimbulkan kesukaran kepada mana-mana pihak dalam menganjurkan aktiviti tersebut.

Sebaliknya, ia bertujuan untuk memberi ruang kepada pihak Majlis Islam Sarawak mengkaji latar belakang individu yang dijemput  tersebut, dan memastikan bahan-bahan yang menjadi subjek ceramahnya tidak bercanggah dengan dasar agama yang diamalkan di negara ini.

“Masyarakat Islam di negeri ini merupakan ahli sunnah wal jamaah dan pengikut mahzab Shafie. Kerana itulah kita mahu pastikan penceramah yang datang dari luar ini memahami situasi ini dan tidak melakukan sesuatu yang bercanggah,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan kepada masjid-masjid dan surau di kawasan Dun N8 Satok sempena bulan Ramadan, di pejabatnya di sini.

9ca0b3b0-83ad-4578-9f53-a2f7701872e8

Abang Johari yang kini bertanggungjawab terhadap hal-ehwal Islam di negeri ini berikutan pemansuhan jawatan tersebut di peringkat Menteri Muda berkata, sebelum ini para penceramah agak bebas melakukan ceramah di negeri ini, dengan kebenaran dipohon sekitar 24 jam sebelum ceramah berlangsung.

“Kita tidak mahu perkara ini berulang. Kita mahu melaksanakan format baharu dengan prosedur dipatuhi secara tegas.

“Kita juga mahu ruang masa yang secukupnya diberikan kepada pihak Majlis Islam Sarawak untuk menyelidik latar belakang  penceramah terbabit sebelum kebenaran diberikan,” katanya merujuk tindakan beberapa penganjur yang membawa penceramah dari luar termasuk Indonesia.

Menurut Abang Johari,  di negara jiran, anutan Islamnya  agak sedikit berbeza dengan adanya kelompok-kelompok tertentu seperti Muhammadiah selain sikap yang agak liberal dengan mengizinkan perkahwinan pelbagai agama, walhal perkara tersebut tidak di negeri dan negara ini.

“Kita memandang serius perkara ini dan kerana itulah kita memperketatkan peraturan sedia ada untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dan komplikasi yang tidak diingini,” katanya.

Jelasnya lagi, ia juga untuk mengelakkan sebarang elemen yang ekstrem disebarkan dalam kalangan umat Islam di negeri ini, yang telah terkenal dengan keharmoniannya.

Peraturan baharu ini kata Abang Johari, telah mula dilaksanakan dan pihaknya akan mengadakan dialog dengan masjid-masjid dan surau serta pihak penganjur mengenainya.

“Tindakan tegas hanya diambil selepas proses itu berlaku,” jelasnya.

Selain itu, Menteri Perumahan dan Urbanisasi itu berkata, tidak semua fatwa yang diluluskan di negeri-negeri di Semenanjung dan Sabah akan diterima pakai di negeri ini.

“Kita akan menyaring dan mempertimbangkan fatwa terbabit kerana kita memiliki kuasa tersebut di bawah Lembaga Fatwa Negeri dan Ordinan Majlis Islam Sarawak.

“Jadi kita hanya menerima dan mengeluarkan fatwa yang bersesuaian dalam konteks negeri kita dan setelah mendengar pandangan pelbagai pihak termasuk pakar dan profesional dalam bidang yang diperbincang. – Sarawakvoice.com