TMJ: Urus bolasepak bukan seperti kem tahanan atau penjara, hingga mengancam para pemain

JOHOR BAHRU: Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam status terbaharu kelabnya, mengkritik sesetengah kelab di Malaysia yang bertindak  tidak profesional hingga  bertindak “mengancam” para pemainnya yang hendak berhijrah ke pasukan lain.

“Kelab bolasepak bukan sebuah penjara, itulah sebabnya ia dipanggil kelab bolasepak. Pemain bebas untuk berpindah dan pergi ke mana sahaja yang mereka mahu termasuk pemain di JDT.

“Pintu sentiasa terbuka untuk pemain kerana pemain sentiasa datang dan pergi dari kelab-kelab sepanjang masa.

Akan tetapi katanya, yang menghairankan di Malaysia, kelab dan persatuan mengancam pemain mereka agar tidak meninggalkan kelab.

“Ini termasuk mengugut pemain dan keluarga mereka, memanipulasi penyokong serta mengenakan denda ke atas pemain.  FIFA menyebut dengan jelas bahawa pemain boleh pergi ke mana-mana sahaja yang mereka mahu selagi pemain menebus kontrak mereka.

“Dalam kes Gabriel Guerra, yang telah menjadi topik hangat yang diperbualkan oleh media baru-baru ini, saya menyaksikan sendiri apabila pemain tersebut datang untuk melawat Juan Sebastian Veron di Johor, mesej yang dihantar kepadanya oleh penolong jurulatih PKNS dan bagaimana dia menerima layanan yang berbeza di kelabnya… dan kelab tertanya-tanya pula mengapa pemain ingin meninggalkan mereka selepas pemain tersebut menerima layanan dengan cara sedemikian.

Katanya, apabila Gabby Guerra menunjukkan mesej yang telah disampaikan oleh pihak pengurusan PKNS, beliau terkejut kerana sebagai putera raja, beliau sendiri langsung tidak pernah menggunakan sebarang  perkataan yang kesat dan menyakitkan terhadap pemain,  sepertimana yang mereka gunakan terhadap Gabby Guerra.

“Oleh kerana terkejut, saya tidak sengaja tersimpan mesej tersebut…ehem. Orang  ini sengaja menjadi ia isu besar apabila Gabby memakai baju JDT dan bergambar dengan saya.”

Tetapi yang peliknya tambahnya, tiada penyokong JDT membuat sebarang isu apabila TMJ bergambar dan memakai baju PKNS.

“Sekarang saya ingin bertanya kepada PKNS, ‘Adakah Gabby Guerra menjadi masalah tersebut atau orang PKNS yang ada masalah dengan TMJ’. Gabby memberitahu saya bahawa ‘Ia bukan mengenai apa yang saya lakukan tetapi kerana mereka membenci Tunku’.

TMJ sedar bahawa PKNS berhasrat untuk memastikan Gabby Guerra menandatangani kontrak baru supaya  apabila JDT ingin mendaftarkan pemain ini pada masa akan datang, PKNS akan mendapat wang daripada perjanjian tersebut.

JDT

“Maaf, itu tidak akan berlaku. Saya telah dimaklumkan mengenai kes yang sama mengenai Azrif Nasrulhaq yang telah menghantar surat kepada Selangor FA memberitahu mereka bahawa dia tidak lagi mempunyai keinginan untuk mewakili kelab itu.

“Dan saya juga difahamkan iaitu pihak FAS telah berjanji kepada keluarga pemain tersebut untuk melepaskan Azrif dalam perpindahan pemain pertengahan musim kerana pemain tersebut tidak lagi mempunyai hati untuk bermain dalam pasukan.

“Apa pun Azrif kena bersabar dan harus tahu ia bukan salah FAS tetapi orang tertentu di dalam FAS,” katanya.

Selangor menurut Tunku Ismail, adalah pasukan yang paling hebat dalam negara, yang kaya dengan sejarah dan mempunyai potensi untuk sentiasa menjadi pasukan yang paling hebat dalam negara.

“Saya kagum dengan pasukan Selangor sejak saya kecil lagi dan saya hormat penyokong-penyokong Selangor.

“Tetapi apakan dayanya apabila ahli politik menguruskan kelab bolasepak demi kepentingan peribadi. Setiap kelab perlu memahami bahawa kami menjalankan kelab bola sepak dan bukan kem tahanan.

“Sekiranya terdapat mana-mana kelab yang berhasrat untuk membeli mana-mana pemain JDT, katanya,  pintu kelab JDT sentiasa terbuka.

“Walau bagaimanapun, sedih di negara ini, pegawai-pegawai tertinggi dalam bola sepak masih mengugut pemain dan keluarga mereka. Kepada bapa Azrif, semoga berjaya untuk RM2 juta.

Tegasnya: “ Ini adalah mengapa saya tidak nampak sesiapa sebagai pesaing saya. Ia kerana kami tidak mempunyai impian yang sama, matlamat yang sama, cita-cita atau pemikiran yang sama. Kami berbeza. Jika anda mahu bersaing dengan Johor, wujudkan persekitaran di mana pemain tidak mahu meninggalkan kelab.

“Hanya satu nasihat kepada pesaing kami, kejayaan kerap terhasil apabila anda mengamalkan gaya hidup positif, kerja keras, ketekunan, perancangan, dan yang paling penting disiplin diri.

Dalam JDT katanya, matlamatnya tidak berhenti untuk sesiapa sahaja. “ Sama ada anda menyokong kami atau tidak kami akan tetap lakukannya. Tidak kira apa cara sekali pun, ia akan tetap terjadi. Demi kejayaan, kami tahu apa yang kami mahu dan kami akan berusaha untuk mengecapinya.

Pesannya: “ Kepada mereka yang mengatakan saya tidak boleh dikritik, saya telah dikritik sejak 2013 lagi apabila saya mengambil alih PBNJ. Baru-baru ini isu beberapa individu telah ditangkap kerana menghina nama baik saya yang tidak pernah saya kacau.

“Terdapat pihak yang cuba memutarbelitkan fakta mengatakan mereka mengkritik dan bukannya menghina. Ada juga segelintir yang memutarbelitkan fakta bahawa saya yang menitahkan untuk membuat tangkapan ke atas individu- individu ini.

“Hakikatnya, laporan polis dibuat oleh rakyat Johor yang masih saying akan institusi DiRaja. Jadi soalan saya kepada individu-individu tersebut adalah apa kena mengena dengan saya sekiranya ada orang lain membuat laporan terhadapnya..?

Beliau turut mengakui ada sesetengah pihak yang menyeru untuk mengarahkan pihak polis membebaskan individu-individu terbabit.

“Orang yang sama juga sentiasa menggunakan ayat yang tiada sesiapa pun dikecualikan dari segi undang-undang dan sekarang mereka mahu saya bertindak seolah-olah saya lebih tinggi daripada undang-undang.

“Walaupun mengkritik atau menghina, saya tidak peduli dan mereka boleh teruskan dengan matlamat mereka kerana saya bersyukur dengan kehidupan yang Allah S.W.T telah kurniakan kepada saya,” jelasnya lagi. – Sarawakvoice.com