Jangan terpedaya dengan permainan politik jahat, kata Najib

PETALING JAYA:  Perdana  Menteri berharap pengundi di kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar tidak terpedaya dengan pembohongan dan permainan politik jahat pembangkang.

“Insya-Allah, hari ini hari terakhir berkempen sebelum penduduk di Kuala Kangsar dan Sungai Besar memainkan peranan penting mencorakkan masa depan kawasan mereka melalui proses demokrasi Pilihan Raya Kecil (PRK) negeri esok.

“Berikanlah peluang kepada Datin Mastura Mohd Yazid dan Budiman Mohd Zohdi untuk meneruskan perkhidmatan cemerlang BN di kawasan anda,” kata Datuk Seri Najib Razak dalam catatan terbaharu Facebooknya.

Najib meminta pengundi di kawasan Parlimen  terbabit membantu mengekalkan kerusi Barisan Nasional di kedua-kedua kawasan itu, bagi membolehkan BN meneruskan perkhidmatan cemerlangnya.

Hari mengundi ialah esok. Segala bentuk kempen perlu ditamatkan menjelang pukul 12 tengah malam ini.

Kawasan Parlimen Kuala Kangsar mempunyai sebanyak 32,949 pemilih berdaftar, manakala di Sungai Besar terdapat 42,655 pemilih berdaftar.

Dalam pertandingan tiga penjuru di  Sungai Besar, calon Barisan Nasional  akan ditentang oleh Dr Abdul Rani Osman (Pas) Adzhar Mohd Shukur (Amanah).

Manakala di  Kuala Kangsar, Masutra dari BN akan ditentang  oleh Dr Najihatussalehah Ahmad (Pas), Dr Ahmad Termizi Ramli (Amanah) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).

Penganalisis politik percaya bahawa BN dapat memenangi kedua-dua kerusi berkenaan dengan undi yang mengukuh.

Pada pilihan raya lalu, BN menang dengan hanya 399 undi majoriti di Sungai Besar, dan 1086 undi di Kuala Kangsar. – Sarawakvoice.com