Menanti ledakan bom jangka dalam BN Sarawak

KUCHING: Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) mengingatkan pentingnya konsep dan semangat  perkongsian kuasa dalam Barisan Nasional (BN) dipertahankan.

Datuk Seri Tiong King Sing berkata, hal ini penting bagi mengelak daripada berlakunya bom jangka yang boleh meledak bila-bila masa.

Sambil menjelaskan konsep berkenaan sebagai perkongsian kuasa berpaksikan keadilan dan mempertimbangkan parti komponen lain, beliau mengakui bahawa konsep semangat kekitaan telah menjadi penentu survival BN untuk sekian lama.

“Apabila bercakap tentang perkongsian kuasa, kita bercakap tentang memenuhi janji bahawa parti komponen tertentu BN perlu mempunyai jumlah kerusi tertentu,” katanya seperti dilaporkan The Borneo Post, hari ini.

Jika tidak, kata Ahli Parlimen Bintulu itu, ia akan menjadi bom jangka, sambil mengingatkan bahawa konsep perkongsian kuasa telah diamalkan di seluruh negara untuk tempoh 50 tahun.

“Jadi,  Sarawak tidak harus mempunyai konsep BN sendiri, berbeza daripada konsep BN di peringkat nasional, memandangkan BN ialah parti nasional,” tambahnya.

Tiong telah begitu tegas dan lantang mempertahankan pendiriannya betapa pentingnya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak menerima sembilan orang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Menjelang pilihan raya 7 Mei, Ketua Menteri sebagai pengerusi BN negeri mensyaratkan calon langsung BN untuk keluar daripada parti masing-masing, termasuk tiga orang dari PBB sebelum mereka dapat menggunakan lambang BN.

Pada mesyuarat Majlis Tertinggi PBB 5 Jun, Adenan sebagai presiden PBB meminta Adun tanpa parti itu mendapatkan maklum balas daripada penyokong akar umbi tentang keputusan mereka.

Mereka diberi sehingga hujung bulan ini berbuat demikian, tetapi dipercayai kebanyakan, kalaupun tidak semua, dijangka akan menyatakan bahawa para pengundi bersetuju dengan pendirian yang diambil.

Kini, parti tulang belakang BN Sarawak itu mempunyai 40 daripada 82 Adun sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemimpin parti komponen lain. Selain PBB, BN Negeri terdiri daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan SPDP.

Tiong juga menyatakan Adun Pakan, Tan Sri William Mawan, Rosie Yunus (Bekenu) dan Paulus Palu Gumbang (Batu Danau) boleh menyertai PBB, tetapi kerusi mereka perlu kekal dengan SPDP. – Sarawakvoice.com