Pelantikan Datuk Bandar Miri harus bebas pengaruh politik

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)kawasan Kabong, Mohd Chee Kadir berkata, beliau mahu dan berharap untuk melihat lebih banyak golongan profesional dilantik sebagai kaunselor dalam Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Beliau yang juga Timbalan Datuk Bandar Miri mengulas mengenai pelantikan Datuk Bandar baru dan timbalannya yang akan tamat pada 30 Jun ini.

Kita bersetuju dengan cadangan tersebut termasuk pelantikan Datuk Bandar dan timbalannya serta kaunselor, patut dilantik dalam kalangan profesional, bukannya daripada kalangan ahli politik.

Ia perlu bebas daripada pengaruh ahli politik dan dilantik dari pelbagai etnik tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

Pelantikan tersebut bagaimanapun sudah pasti menimbulkan masalah apabila ada campur tangan ahli politik.

Baru-baru ini pun terdapat beberapa pertubuhan bukan kerajaan serta ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mahu jawatan Datuk Bandar itu diisi oleh PBB ekoran parti itu telah banyak membantu kemenangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di bandar raya Miri dan Barisan Nasional(BN) dalam pilihan raya lalu.

Pelantikan ahli MBM sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan negeri tetapi yang menjadi persoalannya apabila kerajaan negeri cenderung melantik mereka yang mewakili parti masing-masing – justeru timbul permasalahan sama ada mereka yang dilantik itu mewakili parti ataupun mewakili penduduk setempat.

Perkara ini jelas membawa pelbagai masalah, bahkan telah menyusahkan penduduk di kawasan tersebut sekiranya mereka tidak menyokong parti yang diwakili oleh ahli majlis yang dilantik oleh parti politik yang berkenaan.

Apabila ahli majlis dilantik mewakili parti masing-masing, ia dianggap bertentangan dengan syarat lantikan kerana pelantikan ahli majlis seharusnya mewakili penduduk setempat.

Ini bertujuan membolehkan masalah penduduk dapat disampaikan terus kepada kerajaan yang memerintah dan bukannya menjadikan MBM sebagai agenda politik masing-masing.

Sepatutnya mereka ini bebas daripada ikatan parti politik kerana apabila tiba waktu pilihan raya, mereka akan menggunakan kuasa MBM untuk mempengaruhi pengundi untuk mengundi calon mereka dan parti politik yang mereka anggotai.

Kita mencadangkan agar pada kali ini, yang dilantik adalah kalangan profesional, yang terdiri daripada mereka yang tidak terlibat dengan mana-mana ahli parti politik agar mereka dapat menjalankan tugas dengan baik dan bebas daripada cengkaman ahli politik.

Lantikan Datuk Bandar dan ahli MBM perlu dilakukan 5 tahun sekali dan mereka perlu menjalankan tugas secara profesional dan tidak menyalahgunakan kuasa untuk agenda politik masing-masing.

Tugas mereka sama juga seperti wakil rakyat, yang menjalankan tugas secara telus dan adil tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

Diharapkan pelantikan Datuk Bandar dan ahli MBM boleh dikaji semula untuk menjadikan bandar raya Miri lebih maju pada masa akan datang.