Gadis 18 tahun maut dirempuh treler di Bintulu, 10 gambar tragik

BINTULU: Anggota bomba terpaksa mengambil masa hampir dua jam bagi mengeluarkan mayat seorang gadis yang berusia 18 tahun yang tersangkut di bawah treler yang membawa kontena yang merempuhnya di kawasan lampu isyarat Jalan Sibiew dekat sini tengah hari tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 12.43 tengah hari itu, motosikal yang ditunggangi Vipporia Gurung dipercayai dirempuh dari belakang oleh treler tersebut menyebabkan mangsa tersangkut pada bahagian kotak gear treler tersebut.

Menurut Penolong Pegawai Operasi Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 12.45 tengah hari.

“Sebuah jentera dan sebuah ambulans EMRS dengan kekuatan lapan anggota dikejarkan ke lokasi.

“Setibanya mereka lima minit kemudian didapati seorang mangsa yakni penunggang motosikal wanita tersepit di bawah treler tersebut yang membawa muatan di dalam kontena.

Mangsa kemudian maut kerana kecederaan parah di kepala dan badan.

“Anggota operasi kemudian terpaksa meminta bantuan penggunaan kren untuk mengangkat treler sebelum kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan.

“Mayat mangsa dikeluarkan pada jam 2.32 petang dan diserahkan kepada pihak polis.

Difahamkan, mayat mangsa kini ditempatkan di Unit Forensik Hospital Bintulu bagi tujuan bedah siasat dan pengecaman. – Sarawakvoice.com