Keputusan kerajaan jadikan Hong Kong sebagai pintu masuk ke Sarawak tepat – Abang Johari

KUCHING: Keputusan kerajaan untuk mengadakan kerjasama dengan Hong Kong sebagai hab pelancongan dan pintu masuk ke negeri ini merupakan tindakan tepat apabila tiga penerbangan awal Hong Kong Airlines sejak bulan bulan lalu, menyaksikan kapasiti penuh.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, penerbangan pertama ke ibu negeri pada 28 Mei lalu mencatatkan kehadiran hampir 80 peratus penumpang.

“Pada 1 Jun, kedua-dua penerbangan masuk dan keluar dipenuhi oleh 174 penumpang, manakala pada penerbangan 4 Jun, kapasiti penuh dicatatkan untuk penerbangan masuk manakala jumlah yang terbang ke Hong Kong adalah sekitar 170 orang.

“Pada 8 Jun, sekali lagi penerbangan masuk mencatatkan 174 penumpang manakala penerbangan keluar, yang turut dinaiki oleh penumpang penerbangan masuk yang awal tadi mencatatkan sekitar 150 penumpang.

Kata Abang Johari, pihaknya percaya kebanyakan penumpang ini merupakan pelancong dari Tanah Besar China dan ia memberi gambaran bahawa perkembangan menarik sedang berlaku kepada sektor  pelancongan negeri.

Menurut Timbalan Ketua Menteri lagi, kementeriannya dan Tourism Malaysia kini sedang merintis kerjasama dengan Malindo Air dan Air Asia bagi mendapatkan penerbangan langsung dari Shenzen,China dan Korea Selatan ke Miri.

“Usaha ini sedang dilakukan oleh Menteri Muda Pelancongan, Datuk Lee Kim Shin bagi memperkenalkan kawasan utara Sarawak sebagai hab pelancongan baharu negeri ini,” katanya kepada media selepas mendengar taklimat dan menyaksikan penyerahan Jabatan Kebudayaan Negeri Sarawak daripada Kementerian Belia, Sukan dan Perpaduan Negeri yang diwakili Setiausaha Tetapnya, Kameri Affandi kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang diwakili juga Setiausaha Tetapnya, Datu Ik Pahon Joyik.

Pada sidang media yang sama, Abang Johari turut memaklumkan cadangan kerajaan agar Biro Konvensyen Sarawak (SCB) memberi fokus kepada pelanggan yang berasaskan promosi perniagaan dan bukannya berasaskan  penganjuran acara semata-mata.

“Ini bagi membolehkan lebih ramai yang akan datang berkunjung ke negeri ini pada masa depan,” tambahnya.

Menurutnya, Sarawak juga akan menjadikan kepelbagaian biodiversiti di negeri ini sebagai produk pelancongan bagi membolehkan pengkaji luar datang dan membuat kajian mengenainya.

“Kita memiliki kekayaan sumber biodiversiti yang tidak tertanding dan oleh itu, kita mahu menarik saintis dan pengkaji dari seluruh dunia untuk datang ke sini,” tegasnya.

Oleh itu katanya, beliau mahu Jabatan Muzium Sarawak memperkasakan skop bidangnya, termasuk mewujudkan Pusat Wallace di Sarawak, yang akan bekerjasama dengan Pusat Charles Daarwin di London.

“Ini akan meletakkan Sarawak di peta dunia,” jelasnya.

Alfred Russel Wallace merupakan seorang pengembara, pakar alam sekitar, tokoh geografi, ahli antropologi dan ahli biologi terkenal yang pernah membuat kerja-kerja lapangan di Sarawak pada tahun 1850-an. – Sarawakvoice.com

Keputusan kerajaan jadikan Hong Kong sebagai pintu masuk ke Sarawak tepat