Lim Guan Eng: DAP sokong Amanah dalam PRK kerana ia rakan sekutu

GEORGETOWN: Setiausaha Agung DAP berkata DAP menyokong Parti Amanah Negara (Amanah) pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsa  dan Sungai Besar kerana parti berkenaan ialah rakan sekutu dalam Pakatan Harapan.

Lim Guan Eng berkata agenda dan perjuangan DAP dan Amanah adalah sama, iaitu menentang Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata adalah satu tuduhan melulu untuk pihak tertentu menuduh bahawa mereka mempunyai agenda tertentu.

“Satu tuduhan melulu kalau nak sebut kita ada agenda tertentu. Kita sokong Amanah sebagai rakan seperjuangan dalam Pakatan Harapan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

“Apa salahnya kalau kita (DAP) sokong calon parti Amanah,” kata beliau.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendakwa DAP menyokong calon Amanah  di PKR terbabit kerana parti itu mempunyai agenda menghalang perjuangan Islam yang dibawa Pas.

Abdul Hadi berkata,  tindakan Amanah bertanding di kedua-dua PRK Parlimen itu pada 18 Jun adalah untuk memecahkan undi yang sepatutnya diterima calon pembangkang.

Berlaku pertandingan tiga penjuru di Sungai Besar antara  calon BN iaitu Adun Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi, calon Pas diwakili Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman, dan Pengerusi Amanah Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur.

PRK Kuala Kangsar pula menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid; Ketua Dewan Muslimat Pas Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad; Naib Ketua Amanah kawasan Kuala Kangsar, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.    

Kedua-dua PRK diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu. – Sarawakvoice.com