Tiga beranak maut, budak 6 tahun parah dirempuh kereta Toyota Ipsum di Mukah

MUKAH: Tiga beranak maut manakala seorang lagi anak mereka parah selepas motosikal yang ditunggangi mereka dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Ipsum di Km 5, Jalan Mukah-Balingian dekat sini malam tadi.

Pegawai Turus Trafik Negeri, DSP Alexson Naga berkata, kejadian berlaku sekitar jam 7.30 malam tadi apabila kenderaan Ipsum yang dipandu seorang lelaki berumur 37 tahun yang sedang dalam perjalanan dari Balingian ke Mukah hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Ini menyebabkan empat beranak yang menunggang motosikal Modenas Kriss yang menuju arah bertentangan itu tidak sempat mengelak daripada dirempuh kenderaan tersebut.

“Impak rempuhan tersebut menyebabkan suami isteri dan anak mereka melambung sebelum tercampak ke bahu jalan, dengan si isteri maut serta-merta,” katanya ketika dihubungi sarawakvoice.com pagi ini.

Suami mangsa dan seorang lagi anak mereka pula meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Mukah.

Anak perempuan mangsa yang parah kemudian dikejarkan ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

Menurut Alexson, penunggang yang maut dikenali sebagai Mohd Adika Sudin, 26, berasal dari Kampung Jebungan, dekat sini manakala isteri dan anaknya yang turut meninggal dunia dikenali sebagai Jaifa Mohamad, 27 tahun dan, Mohamad Aniq Yuzri Mohamad Andika,7 tahun.

Anak mangsa yang parah pula dikenal pasti sebagai Fifi Nurlyana Syafina Mohamad, 6 tahun.

Pemandu Toyota Ipsum pula mengalami cedera ringan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sarawakvoice.c