PAS Sarawak sokong RUU Persendirian Pindaan Akta 355

MIRI: Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dalam bab “kebebasan beragama” dengan setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4),mengembangkannya.

Fasal (4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, semua penganut agama bebas mengamal ajaran masing-masing dan begitu juga dengan Islam, mereka juga berhak untuk melaksanakan perundangan syariah dalam negara ini tanpa sebarang sekatan selagi tidak melanggar Perlembagaan.

Mengapa ada sesetengah pihak yang cuba menghalang dan menentang  pindaan Akta 355 yang dibawa oleh Presiden PAS Haji Abdul Hadi Awang sedangkan ia untuk umat Muslim sahaja?

Tujuan pindaan Akta 355 adalah untuk memperkasakan bidang perundangan syariah sedia ada kepada sistem yang selari dengan perkembangan semasa dan berakar kukuh kepada sumber-sumber perundangan syariah yang diiktiraf dalam Islam.

Di mana kebebasan penganut agama Islam untuk melaksanakan perintah Allah sekiranya ada pihak yang berusaha untuk menghalang hasrat dan keinginan penganut agama Islam mengamalkannya?

Sepatutnya penganut agama lain selain Islam jangan cuba mencampuri urusan agama Islam dan sudah tentu mereka juga tidak suka kalau umat Muslim mencampuri urusan agama mereka.

Mereka juga perlu menghormati dan tidak mencampuri urusan agama yang berkaitan dengan Islam. Apa hak mereka menghalang umat Muslim melaksanakan ajaran agama mereka sendiri?

Kalau ada penganut non-Muslim hendak melaksanakan perundangan mengikut kepercayaan agama mereka, tiada siapa pun hendak menghalang tetapi mengapa apabila penganut agama Islam hendak melaksanakan perundangan syariah, ramai cuba mencampuri urusan yang berkaitan dengan agama Islam.

Di mana kebebasan penganut agama Islam untuk mengamalkan ajaran agamanya mengikut Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan?

Kita menggesa agar mereka terutama non-Muslim yang tiada kaitan dengan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Pindaan Akta 355; jangan cuba mencampuri urusan perundangan agama Islam. Mereka perlu belajar menghormati agama Islam kalau mereka mahu agama mereka juga dihormati.

PAS Sarawak menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Pindaan Akta 355 yang dibawa oleh Presiden PAS kerana ia hanya berkaitan dengan urusan agama Islam dan tidak ada kaitan dengan penganut agama lain.

Wakil rakyat sepatutnya bersikap profesional dan jangan terlalu emosi dengan RUU ini sebab ia boleh dibincangkan dalam sidang Parlimen akan datang.

Berilah peluang untuk RUU ini dibahaskan di sidang parlimen dan sekiranya bercanggah dengan perlembagaan, ia boleh diperbetul tanpa perlu dijadikan isu politik untuk meraih sokongan kerana rakyat Malaysia mahu kehidupan yang aman dan damai tanpa sebarang provokasi perkauman yang melampau.

Malaysia akan aman dan damai apabila rakyatnya dapat menghormati dan tidak mencampuri urusan agama dan adat resam berbagai-bagai kaum di negara ini.