Aksi Festival Muzik Hutan Hujan 5 Ogos depan tampil artis tersohor

KUCHING: Lima artis dari Bumi Kenyalang termasuk dua pemain sape tersohor, Alena Murang dan Mathew Ngau Jau akan beraksi pada Festival Muzik Hutan Hujan (RMWF) edisi ke-19 di Kampung Budaya Sarawak pada 5 hingga 7 Ogos depan.

Mereka akan disertai Gendang Melayu Sri Buana, Beats Thunder Nanyang Wushu Drums serta penghibur dari Kampung Budaya Sarawak yang akan berkongsi pentas dengan lapan lagi kumpulan dari Malaysia bagi menampilkan bakat masing-masing.

“Sebanyak 26 artis antarabangsa akan terlibat dalam penganjuran edisi kali ini termasuk 1Drum.org dan Band Girls of Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah,” kata Angelina Patricia Bateman, pengarah projek berkenaan.

Menurut Patricia, RWMF telah dipilih sebagai antara 25 festival muzik antarabangsa terbaik untuk tahun keenam berturut-turut oleh majalah muzik dunia yang berpangkalan di United Kingdom, “Songlines”.

Tiket festival dan maklumat terkini mengenainya boleh diperoleh secara dalam talian atau melalui ejen tiket yang telah disenaraikan di www.rwmf.net.

Acara ini disokong oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak dan Tourism Malaysia manakala Malaysia Airlines Bhd sebagai penaja. – Sarawakvoice.com