Mawan bersedia sertai Kabinet Pusat, sanggup terjun bangunan jika diarahkan

KUCHING: Enggan berselindung, Ahli Parlimen Saratok, Tan Sri William Mawan Ikom hari ini menyatakan kesediaannya untuk menyandang sebarang jawatan Kabinet Persekutuan dalam rombakan yang dijangkakan sebelum Aidilfitri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pakan itu berkata, beliau mahu terus berkhidmat kepada rakyat dan mengharapkan diberi peluang untuk berbakti, selepas digugurkan daripada Kabinet Negeri.

Sebelum Pilihan Raya Negeri pada 7 Mei lalu, Mawan merupakan Menteri Pembangunan Sosial Negeri selama dua penggal.

“Saya sangat setia kepada Barisan Nasional (BN) dan telah berkhidmat lebih 20 tahun dengan penuh dedikasi.

“Tetapi ketika ini saya masih belum pasti akan kapasiti saya dan ia terpulang kepada kepimpinan tertinggi BN.

“Jika bos meminta saya untuk terjun dari bangunan, saya akan bertanya ‘dari tingkat mana’ dan bukan bertanya ‘mengapa’,” katanya berseloroh kepada media selepas Majlis Serah Tugas kepada Menteri Belia, Sukan dan Perpaduan baharu, Datuk Sri Michael Manyin Jawong di Bangunan Baitulmakmur di sini.

Kata Mawan, beliau menyerahkan masa depannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dan akan akur kepada apa jua keputusannya.

Berhubung status keahliannya di dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), bekas presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) itu memberitahu, perkara tersebut berada di tangan Presiden parti, Tan Sri Adenan Satem dan beliau sendiri masih menunggu akan jawapan daripada parti tersebut. – Sarawakvoice.com