Jangan ada telur di bawah ketiak YB, jadi Yang Berkhidmat, bukan Yang Berhormat

KUCHING:  Langkah Ketua Menteri Sarawak meminta Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) mengemukakan laporan enam bulan sekali dianggap tepat bagi memastikan  wakil rakyat terbabit tidak leka dan sentiasa menjalankan tugas mereka sesuai dengan harapan rakyat.

Langkah memantau wakil rakyat, menteri dan menteri muda dapat memastikan mereka bukan sahaja menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, tetapi bagi memastikan masalah rakyat dapat diselesaikan, kata seorang pemerhati politik yang enggan disiarkan namanya.

Bagi memastikan semuanya berjalan seperti dirancang, Tan Sri Adenan Satem sendiri akan meneliti laporan berkenaan.  

Ketua Menteri berkata, 72 orang wakil rakyat BN wajib mengemukakan kad laporan masing-masing enam bulan sekali, dan beliau sendiri akan menyemak laporan berkenaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengumumkan barisan menteri muda kabinet negeri di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Kabinet Adenan terdiri daripada 10 menteri dan 18 menteri muda bagi menerajui 11 kementerian.

Sudah tentu, wakil rakyat perlu mempunyai sasaran kerja dan Petunjuk Utama Prestasi (KPI) mereka.

Pada pilihan raya 7  Mei, BN memenangi 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan DAP memenangi tujuh dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengekalkan tiga kerusi dimenangi pada 2011.

“Hakikatnya, seorang wakil rakyat yang baik tidak perlu menunggu orang lain, apatah lagi ketuanya untuk memantaunya, kerana dia sepatutnya tahu akan peranannya sebagai wakil rakyat,” katanya.

Bagi pemerhati itu, wakil rakyat perlu  terlebih dahulu menyingkirkan gelaran Yang Berhormat yang ada di pangkal namanya; sebaliknya menggantikannya dengan gelaran Yang Berkhidmat.

Katanya lagi, kalau individu yang telah dipilih oleh rakyat mahu rakyat menghormatinya, sedangkan dia tidak pandai menghormati rakyat, maka hal ini bermakna dia sudah bermula di atas landasan yang silap.

“Kesilapan segelintir wakil rakyat ialah, dia mahu sambutan yang hebat, protokol yang ketat, dan sebagainya. Malah, apabila sudah menjadi wakil rakyat, gaya berjalan pun sudah berubah,  memetik seorang pengundi,  bagai ‘ada telur di bawah ketiaknya’,” tambahnya.

Menurut beliau, rakyat dan pengundi tidak mahu seorang YB yang angkuh, berlagak dan tidak mempedulikan masalah dan isu yang membelenggu rakyat.

Harus diakui, sebahagian daripada calon penyandang temasuk calon pembangkang terutamanya DAP berdepan dengan masalah dalam pilihan raya lalu kerana mereka tidak begitu mempedulikan kawasan dan pengundi. Jadi, apabila tiba waktu penghakiman, dia tahu bagaimana keputusan rakyat.

YB Barisan Nasional dan Tan Sri Adenan Satem sedar, mereka akan kembali kepada rakyat dalam tempoh lima tahun lagi.

“Lima tahun adalah waktu yang pantas jika seseorang sibuk menjalankan tugasnya. Sesungguhnya, tidak ada masa untuk tidak mempedulikan rungutan dan masalah yang mencengkam rakyat, tidak kira berkaitan dengan kemudahan asas, kebajikan atau harapan mereka,” katanya.

Cabaran yang menunggu wakil rakyat adalah besar. Terlebih dahulu, tentu mereka dapat mengingati kembali janji-janji yang telah dibuat waktu kempen tentu ada rakyat dan pengundi yang mengemukakan permintaan atau permohonan baik secara lisan mahupun bertulis.

Wakil rakyat diharapkan memberikan perhatian serius terhadap segala rayuan, permohonan dan permintaan berkenaan, dan jika wajar memang perlu dilaksanakan. Jika tidak, penjelasan yang sebaiknya perlu diberikan agar mereka tidak salah faham.

Jangan sampai janji yang sama perlu dikitarkan semula lima tahun dari sekarang.m – Sarawakvoice.com