Rafizi Ramli janji jadi budak baik di Sarawak

SIBU: Pada 30 April 2016, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata, pembangkang yang ingin masuk ke Sarawak supaya menulis surat kebenaran kepadanya.

Hal ini disebabkan beliau telah menerima banyak tohmahan dan kritikan daripada pembangkang berikutan Ketua Menteri itu dikatakan telah menyalahgunakan kuasa imigresen yang Kerajaan Sarawak miliki. Setiausaha Agung PKR itu pun menulis surat kepada Ketua Menteri memohon kebenaran.

Rafizi juga berjanji di dalam surat tersebut untuk tidak mengkritik pentadbiran Adenan Satem serta pemimpin Barisan Nasional Sarawak yang lain, serta berjanji akan menjadi budak baik sepanjang beliau berada di Sarawak.

Permohonan Rafizi telah mendapat maklum balas positif yang cepat daripada Ketua Menteri yang hanya membenarkan beliau berada di Sarawak selama lima hari untuk membantu kempen PKR.

Pada tanggal 4 Mei 2016, beliau  buat pertama kalinya menjejakkan kaki di Bumi Kenyalang setelah dua tahun disekat kemasukannya oleh Kerajaan Negeri di bawah kuasa imigresennya.

Rafizi dalam ucapannya permulaan malam semalam mengulang balik pendiriannya kepada pengundi-pengundi di Sibu khususnya di DUN Nangka bahawa kehadiran beliau di sini bukan hendak memporak-perandakan suasana kempen di Sarawak, tetapi hanyalah hendak menjelaskan isu-isu nasional kepada penduduk Sibu seperti isu 1MDB, GST dan penyalahgunaan tabung rakyat seperti KWSP, KWAP, LTAT, Amanah Saham.

Ceramah tersebut mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat biarpun calon BN juga mengadakan kempen mereka di Dewan MUC dengan menjemput Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Rafizi berkata, kalau isu 1MDB tidak dapat diselesaikan bermakna pembangunan terhadap Sarawak tidak akan dapat dilaksanakan berikutan kewangan Kerajaan berada di paras tenat.

Pembangunan yang dimaksudkan oleh Rafizi ialah janji yang terdapat dalam manifesto BN seperti Lebuh Raya Pan Borneo, tuntutan royalti minyak 20 peratus, dan pelbagai lagi yang terkandung  dalam manifesto.

Hal ini kerana, Konsep Persekutuan yang menyebabkan Kerajaan Persekutuan menguasai hampir 90 peratus bidang kuasa khususnya dalam kutipan cukai.

Kata beliau, apabila Kerajaan Pusat tidak mempunyai wang, maka Kerajaan Negeri juga tidak mempunyai wang kerana konsep persekutuan yang diamalkan.

Hal ini berlaku kerana, menurut Rafizi, urus tadbir kewangan yang salah oleh Kerajaan BN menyebabkan puncanya hal ini.

Rafizi juga sempat mempromosikan maskot PKR terbaru badak sumbu kerana PKR buat julung kalinya bertanding dalam pilihan raya bersama maskot Badak Sumbu.

Beliau berkata, badak sumbu dipilih kerana sifat badak yang ingin melawan sesiapa sahaja yang menggugat keselamatan beliau dan sekelilingnya sejajar dengan prinsip keadilan yang dimiliki oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu lawan tetap lawan.

Yang turut hadir dalam sesi ceramah tersebut ialah calon PKR Nangka, Abdul Raafidin Majidi, Angkatan Muda Keadilan Negeri Sembilan Chai Tong Chai, dan AMK Perak. – Sarawakvoice.com