DAP, PKR ligat berkempen untuk kuasai lima kerusi di Sibu

SIBU: Pada hari-hari terakhir tempoh kempen menjelang hari pembuangan undi 7 Mei, Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menggunakan gear tertinggi dalam usaha meraih sokongan pengundi di Sibu.

DAP  berharap dapat mempertahankan  kesemua kerusi majoriti Cina di bandar Sibu, dan merampas  kerusi Bawang Assan daripada Barisan Nasional.

Bandar Sibu yang mempunyai dua  kerusi Parlimen, iaitu Parlimen Sibu dan Lanang dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri, iaitu Bukit Assek dan Dudong di Parlimen Lanang, manakala Pelawan, Bawang Assan dan Nangka di bawah Parlimen Sibu.

Pada Pilihan raya negeri 2011, DAP berjaya memenangi tiga kerusi DUN, iaitu Bukit Assek , Dudong dan Pelawan selepas DAP merampas kerusi Parlimen Sibu daripada BN pada Pilihan Raya Kecil 2010.

Pada Pilihan Raya Umum 2013, DAP berjaya merampas Lanang dan Sibu.

Dalam usaha untuk mengukuhkan cengkaman mereka di Lembah Rejang ini, pembangkang khususnya DAP berusaha menawan kesemua kerusi majoriti pengundi Cina.

DAP mengadakan ceramah hampir di seluruh pelosok bandar Sibu.

Pada tanggal 1 dan 2 Mei lalu, DAP mengadakan ceramah di Taman Rejang dan Ulu Sungai Merah. Kawasan tersebut mempunyai pengundi Cina yang paling ramai, iaitu hampir 90 peratus dan kesemua calon mereka, Irene Chang, David Wong, Stanley Chiew dan Yap Hoi Liong menggemblengkan tenaga untuk memberikan ceramah mereka .

Pada keesokan harinya, DAP mengadakan ceramah di pekarangan kawasan perniagaan Kampung Datuk.  DAP menjemput Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk membantu calon DAP  mengekalkan kerusi Bukit Assek, Dudong dan Pelawan, dan merampas kerusi Bawang Assan.

Sepanjang ceramah, hampir keseluruhan penduduk setempat memenuhi ruang ceramah, malahan menyebabkan sedikit kesesakan lalu lintas.

Berbeza pula dengan calon PKR, Abdul Raafidin Majidi turut berusaha merampas kerusi Nangka daripada BN yang dimenangi Dr Annuar Rapaee. Kempen Abdul Raafidin diadakan secara besar-besaran, yang dibantu pucuk pimpinan PKR daripada Angkatan Muda Keadilan sehingga ke Presiden PKR.

Pada 30 April, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah berkunjung ke Sibu dan memberikan ceramah di Kampung Datuk.

Pada 1 Mei, Wan Azizah mengadakan walkabout bersama Abdul Raafidin di Bandong Walk.

Pada malamnya juga, kempen Abdul Raafidin dibantu Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Haji Mohd Rashid Hasnon yang turut memberikan ceramahnya kepada pengundi di Kampung Datuk dan mengadakan walkabout bersama calon tersebut di Pasar Sentral Sibu.

Pada malam tadi, Rafizi Ramli, Ahli Parlimen PKR mengadakan ceramahnya di Jalan Delta untuk membantu Raafidin merampas kerusi Nangka.

Rafizi Ramli yang disekat daripada memasuki Sarawak telah mengutuskan surat permohonan kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem untuk masuk ke Sarawak  bagi membantu kempen calon PKR. – Sarawakvoice.com