Najib aktif di luar bandar, Adenan ligat di bandar, adakah BN bakal menang besar?

KUCHING: Walaupun ada pemimpin muda berusia kurang 30 tahun mendakwa mereka boleh lebih baik daripada Tan Sri Adenan Satem untuk memimpin Sarawak, hakikatnya, Ketua Menteri kelima Sarawak mempunyai aura dan pendekatan politik tersendiri.

Dengan lebih 40 tahun pengalaman politik di belakangnya, bagaimana mereka yang disifatkannya boleh dianggap sebagai cucu dapat melawan karisma, gaya kepemimpinan dan keupayaannya?

Kalau tidak, mana mungkin pemimpin veteran Lim Kit Siang sudah memberi amaran kepada pekerja parti pembangkang kemungkinan DAP boleh tumbang di tujuh daripada 12 kerusi dimenanginya pada 2011?

Malah, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen kini tertekan, risau peratusan pengundi yang turun mengundi merosot kali ini, boleh menjejaskan peluang DAP menang besar ketika ia sendiri menaruh harapan untuk menguasai 22 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Malah, beliau risau akan kehilangan kerusinya di Kota Sentosa ketika 3,000 pengundi awal telah turun mengundi semalam, yang tentunya bukan memihak kepada beliau.

Atau semua itu adalah percaturan strategi politik bagi memberi tekanan kepada pekerja parti untuk bergerak lebih padu dan agresif menjelang tiga hari, hari penentuan?

Tanpa ragu, Barisan Nasional akan memenangi dua pertiga majoriti, tetapi bukan itu yang menjadi ujian dan penanda aras utama kerana 64 kerusi berada di luar bandar. Kawasan berkenaan merupakan kubu kuat BN dengan taraf kecelikan politik masih rendah atau sederhana dalam kalangan pengundi yang juga masih berpegang kepada politik pembangunan sebagai asas perkiraan.

Dan, harus diingat, 9 daripada 11 kerusi baharu susulan persempadanan semula oleh SPR juga terletak di luar bandar.

Satu daripada strategi utama Adenan ialah menampilkan calon taikun atau tauke besar yang memiliki rangkaian perniagaan yang luas, dan duit yang ‘bertepek’ untuk menentang calon DAP di bandar.

Mereka ini sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk selesaikan isu dan masalah rakyat, termasuk menurap jalan, membaiki surau, masjid, rumah panjang dan sebagainya seperti dilakukan calon langsung BN di Pujut, Miri.

Calon-calon BN kelihatan bagai tidak berdiri di atas keupayaan sendiri, sebaliknya kelebihan dan populariti Adenan untuk muncul juara. Seolah-olah mengambil pendekatan pemilihan presiden di Amerika Syarikat atau gaya komunikasi dan pemasaran politik digunakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada pilihan raya umum lalu, itulah yang digerakkan Pasukan Adenan.

Gandingan poster calon dengan Adenan ketara di mana-mana. Tetapi adakah semua itu dijelmakan dalam bentuk undi Sabtu ini ketika isu tempatan, intrig dalam parti dan sesama parti komponen khususnya antara SUPP dengan UPP boleh memecahkan undi yang sepatutnya mengalir ke arah BN?

Strategi BN seterusnya ialah Adenan berkempen di bandar, kerana diterima baik pengundi bandar. Peruntukan RM12 juta kepada sekolah persendirian Cina, pengiktirafan sijil UEC dan tidak menganggap Cina pendatang, antara yang disenangi pengundi Cina. Daripada 1.13 juta pengundi 33 peratus ialah pengundi Cina.

Perdana Menteri pula banyak memberi tumpuan di luar bandar dan pedalaman, kerana popularitinya mencanak di kawasan terbabit. Pengundi gembira beliau membawa banyak berita baik dalam bentuk projek pembangunan.

Strategi ampuh terakhir adalah menyekat pemimpin politik khususnya dari PKR dan DAP untuk memasuki Sarawak dalam tempoh 11 hari kempen, malah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor Azmin Ali hanya dibenarkan berada di Sarawak sehingga tarikh tertentu, strategi ketara untuk menghambat pergerakan mereka.

Kerana kecewa, Azmin sampai mengkritik Adenan, dengan menyatakan, Sarawak bukan hak bapa Adenan seorang, untuk kemudiannya ditempelak menteri kanan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Sarawak.

Sebahagian daripada pemimpin yang disekat ialah orator hebat di pentas politik. Tetapi DAP kini punya pengganti, Abdul Aziz Isa yang punya kemahiran tinggi menyampaikan ceramah politik.

Namun, dengan semua strategi itu, sebahagiannya jelas untuk mewujudkan gelanggang tidak sama rata kepada pembangkang, mampukah Pasukan Adenan memenangi lebih banyak kerusi, dan meningkatkan undi popular?

Dengan semua strategi itu, mampukah BN menang besar? – Sarawakvoice.com