Jambatan keluli naik taraf keselesaan penduduk Kudei yang berpotensi majukan inap desa: Abang Johari

KUCHING : Penduduk di Kampung Kudei Lama dan Baru di sini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan meluluskan pembinaan sebuah jambatan keluli yang akan menghubungkan kedua-dua kampung berjiran itu.

abang johari kudei 2Jambatan ini akan menggantikan titi lama yang diperbuat daripada kayu.

Menurut calon Barisan Nasional bagi Dun Satok, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, jambatan berharga lebih RM1 juta ini merupakan salah satu projek utama yang telah lama dirancangkan di kawasan itu.

Sebelum ini, penduduk di kawasan ini menggunakan jambatan sementara ihsan Yayasan CIMB Group setelah jambatan lama sebelum itu rosak berikutan banjir besar yang melanda Kuching beberapa tahun lalu.

Abang Johari berkata, jambatan sepanjang 500 meter ini akan menggunakan teknologi dan reka bentuk baharu bagi membolehkannya dilalui oleh kenderaan ringan.

“Apabila jabatan ini siap kelak, kita akan meneruskan rancangan pembangunan di kawasan sekitar sini termasuk memajukan industri pelancongan inap desa atau ‘homestay’,” katanya, yang juga Menteri Menteri Pelancongan Sarawak ketika berucap pada majlis pecah tanah pembinaan jabatan tersebut.

Kerajaan Barisan Nasional menurut Abang Johari, mempunyai perancangan jangka panjang yang jelas, dan dijangka akan memberi impak besar kepada rakyat, terutamanya dalam pembangunan ekonomi setempat.

Dun Satok mempunyai 14 buah kampung, dengan dua buah kampung iaitu Segedup dan Sungai Maong kini terletak dalam wilayah tadbirannya hasil persempadanan semula Dewan Undangan Negeri.

Seramai 13,350 pemilih berdaftar layak mengundi di Dun ini, yang akan menyaksikan Abang Johari bertemu satu lawan satu dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Salleh Shawkatali.

Pada PRN 2011, Abang Johari mencatatkan 4,691 undi bagi mengetepikan juga calon PKR, Ahmad Nazib Johari dengan majoriti 2800 undi. – Sarawakvoice.com

abang johari kudei