PAS tingkat momentum lahir anak sulung di Sarawak

KUCHING:  Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sarawak telah meningkatkan momentumnya semalam dengan menggerakkan semua jentera pilihan rayanya ke semua kawasan yang ditandingi.

Ini berikutan kesemua 11 calonnya telah diisytihar layak bertanding di Dun Pantai Damai, Semariang , Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut Setiausaha PAS Sarawak, Mukhtar Suhaili, berdasarkan kempen awal yang diadakan, sambutan para pengundi terhadap PAS adalah positif dan amat menggalakkan.

“Ini merupakan satu perkembangan yang baik dalam misi PAS melahirkan Adun sulung di negeri ini,” katanya.

PAS jelasnya, perlu diberi peluang untuk mempunyai wakil di Dewan Undangan Negeri Sarawak agar proses semak dan imbang yang berkesan dapat diwujudkan.

“Ini juga bagi memastikan mesej ‘PAS Untuk Semua’ dan agenda ‘Islam Rahmat Untuk Semua’ dapat direalisasikan dan dikembangkan.

Kata Mukhtar, PAS Sarawak komited untuk melaksanakan ‘Tawaran Sejahtera Untukmu Sarawak’ yang telah dilancarkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

“Ini termasuklah mempertahankan hak anak negeri Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Persekutuan Malaysia 1963.

“Oleh yang demikian, bakal Adun PAS akan menyokong dan mendokong usaha mempertahankan hak tersebut mengikut saluran undang-undang dan demokrasi sedia ada.

PAS  Sarawak juga kata Mukhtar, komited memelihara hak pelbagai kaum dan agama serta budaya di negeri Sarawak.

“Oleh yang demikian, bakal Adun PAS tidak akan memberi ruang kepada isu-isu yang mengganggu-gugat hak setiap kaum dan agama di negeri ini dengan mengamalkan budaya harmoni dan sejahtera.

Konsisten menuntut royalti 20 peratus minyak dan gas, PAS  Sarawak jelasnya akan terus menggerakkan usaha agar hak tersebut dikembalikan kepada rakyat Sarawak secara adil dan saksama.

“Pada masa yang sama kita akan turut bertegas agar kemudahan asas di negeri ini berada dalam keadaan capaian menyeluruh.

Bakal Adun  PAS janjinya, akan bersuara dan memperjuangkan hak tersebut untuk dilaksanakan secara menyeluruh untuk rakyat Sarawak.

Kata Mukhtar, parti itu turut menyeru agar semua pihak mengekalkan suasana damai sepanjang tempoh berkempen pada musim pilihan raya ini.

“Insiden kain rentang PAS Sarawak dibakar di Lambir, bendera PAS  dicabut di Pujut, billboard calon PAS di Kakus dikoyakkan dan lain-lain tidak sewajarnya berlaku.”

PAS  Sarawak juga katanya, telah mengarahkan seluruh jenteranya untuk sentiasa berdisiplin dalam berkempen dan menjauhkan diri daripada menimbulkan sebarang provokasi.

“Dengan penyertaan terbesar ini, PAS  Sarawak berharap mereka akan diberi peluang untuk melahirkan wakil sulung dalam Dun Sarawak pada 7 Mei kelak. – Sarawakvoice.com