Hutan kawasan Baram terbakar

MIRI: Cuaca panas dan kering yang melanda bahagian utara negeri ini sekali lagi menyebabkan kawasan hutan di Kuala Baram di sini terbakar sejak petang kelmarin.
Kali ini kebakaran melibatkan kawasan seluas 20 hektar hutan tanah gambut berhampiran Desa Pujut.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri Law Poh Kiong berkata, sehingga semalam, pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng dan Miri dengan bantuan kakitangan syarikat Naim masih bertungkus lumus memadamkan kebakaran.

Katanya, kawasan kebakaran yang tidak dapat dilalui jentera bomba menyukarkan tugas memadamkan kebakaran.

“Kita terpaksa menggali parit dan mengalirkan air masuk sebagai bekalan memadamkan kebakaran.

“Kita juga akan menggunakan bantuan helikopter bomba untuk memantau kawasan kebakaran dari udara dan mengesan tompok api,” katanya.

Katanya, kebakaran hutan turut berlaku di beberapa kawasan lain antaranya Marudi, dan Bekenu, bagaimanapun, kebakaran berkenaan dilaporkan berjaya dipadamkan.

Law berkata, bermula Januari hingga 13 Mac lepas sebanyak 202 kebakaran dilaporkan berlaku di kawasan Kuala Baram.

Katanya, cuaca panas dan kering mengkibatkan kawasan tanah gambut mudah terbakar.

“Bagaimanapun, pihak bomba sentiasa memantau bagi mengelakkan kebakaran berkenaan merebak ke kawasan lain,” katanya.

Kebakaran hutan tanah gambut di Miri dianggap terburuk tahun ini tambahan dengan fenomena El Nino mengakibatkan kawasan hutan menjadi kering.