Calon BN Pujut turun ke akar umbi selesai masalah rakyat, juga guna Facebook

MIRI: Selain bergerak di peringkat akar umbi sejak lima tahun lalu, calon langsung Barisan Nasional yang dikaitkan dengan Parti Rakyat Bersatu (UPP) bagi kerusi Pujut, Datuk Hii King Chiong turut berkelana di alam maya, mengemukakan agenda beliau dan menjawab segala persoalan dan masalah yang dikemukakan oleh pengundi.

 Hii King Chiong
Hii King Chiong

Pengumuman nama beliau oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem minggu lalu mengejutkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang berkeras mahu Adam Yii, setiausaha seranta dan informasi SUPP Negeri, serta pengerusi cawangan  SUPP Pujut sebagai calon.

Bagi Hii seperti dimuatkannya dalam catatan Facebooknya, beliau dan pasukannya berjanji untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pengundi.

Selain bergerak dari rumah ke rumah dan dari kampung ke kampung, komunikasi terbuka melalui media sosial dianggap berkesan untuk berinteraksi dengan pengundi, dengan banyak kos dan masa dapat dijimatkan.

“Jiwa saya adalah bersama-sama anda, tanpa mengira agama, kaum. Anda sebahagian penting daripada masyarakat kita yang harmoni. Anda wajar mendapat layanan yang lebih, baik, dan pantas,” katanya dalam catatan itu.

hii king chiong 4

Hii, Foochow berasal dari Sibu, dilahirkan pada 30 November 1957 mempunyai seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Suami kepada Ting Hua Eng ini pernah menuntut di Sekolah Rendah Methodist dan Sekolah Menengah Sacred Heart, Sibu.

Berkelulusan Diploma dalam Pengajian Perniagaan dari University of Wolverhampton, England dan MBA, beliau menyertai SUPP pada 2006. Namun, pada Oktober tahun lalu, Hii menyertai UPP, langkah yang tidak kurang mengejutkan SUPP.

Dalam kenyataannya kepada media ketika itu, Hii berkata, tujuannya menyertai parti pimpinan Datuk Seri Wong Soon Koh adalah kerana menganggap parti itu sebagai platform baginya memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau menekankan komitmen UPP untuk menyatukan rakyat bagi menuntut hak dan kepentingan mereka.

Beliau aktif dalam pelbagai persatuan Cina dengan pembabitan aktif dalam bidang berkaitan pendidikan, budaya dan sukan.

hii king chiong 7

Hii, seorang ahli perniagaan dan dermawan terkemuka dikatakan banyak memberi sumbangan kepada rumah ibadah termasuk masjid, surau dan gereja di kawasan Pujut.

Memberi penjelasan lanjut, Hii berkata, beliau akan terus memberi perhatian terhadap kemudahan prasarana sebagai agenda utamanya.

Penduduk yang ditemui berkata, Hii menggunakan dananya sendiri untuk membantu rakyat membina kemudahan asas, tanpa memerlukan dana kerajaan.

Kawasan ini walaupun majoriti Cina, tetapi terdapat banyak orang Melayu, Melanau, Iban dan Orang Ulu.

Katanya, beliau akan mengutamakan kerja yang diabaikan oleh penyandang kerusi sekarang dari DAP.

Antara yang menjadi perhatian beliau ialah perparitan, jalan, penyediaan CCTV untuk Pujut, Krokop dan sebagainya.

Netizen termasuk pengundi dan penduduk di kawasan terbabit berinteraksi dengan beliau melalui komen di Facebooknya, mengemukakan masalah dan isu termasuk masalah jambatan, jejantas, gereja, dan jenayah pecah masuk rumah.

hii king chiong

Hii memberi respons positif dengan berjanji untuk memberi perhatian berat kepada masalah dan isu yang dibangkitkan, sekali gus membuktikan betapa media sosial dapat digunakan dengan berkesan untuk berhubung dengan pengundi.

Pujut dan Piasau merupakan kerusi majoriti Cina dengan Barisan Nasional berazam untuk merampas balik kerusi berkenaan daripada DAP.

Senadin hampir dirampas DAP pada 2011 apabila calon SUPP-BN Datuk Lee Kim Shin hanya memenanginya dengan majoriti 58 undi.

Kerusi ini dijangka menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan Dr Ting Tiong Choon bakal mewakili DAP bagi menentang Hii, Jofri Jaraiee (Pas) dan calon Bebas, Fong Pau Teck yang menang atas tiket DAP pada 2011. 

Pada pilihan raya lalu, DAP melalui Fong Pau Teck memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,849 undi.

Beliau memperoleh 62.9 peratus undi apabila meraih 9,120 berbanding Andy Chia Chu Fatt (SUPP-BN) yang mendapat 36.4 peratus undi (5,271). Pada 2013, Fong disingkirkan daripada DAP disebabkan masalah disiplin dan kemudiannya menjadi Adun Bebas sehingga Dun Sarawak dibubarkan 11 April lalu. 

Sebanyak 64.2 peratus daripada 22, 577 pengundi bendaftar turun mengundi. 

Pujut mempunyai 26,244 pengundi dengan 32% bumiputera.

Meskipun DAP yakin menyapu bersih tiga kerusi di utara Sarawak, iaitu Senadin, Pujut dan Piasau, namun pemerhati politik akar umbi berkata bahawa peluang untuk calon langsung BN itu membuat kejutan tidak harus diperkecil.

Kekuatan dukungan kewangan sebagai ahli perniagaan yang berjaya dan telah bekerja keras untuk memastikan kemenangannya di kawasan majoriti Cina itu juga menjadi faktor penentu.-Sarawakvoice.com

hii king chiong 5