Sabotaj-mensabotaj boleh sebabkan BN tewas, hakiskan undi majoriti

KUCHING: Dengan bukan semua daripada 82 kerusi ditandingi Barisan Nasional (BN) bersih daripada kontroversi, dijangka bahawa sabotaj-mensabotaj bakal berlaku di sekurang-kurang 25 kerusi.

Punca sabotaj antara lain berkaitan dengan isu agihan kerusi antara empat buah parti, iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP), dan antara Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dan Teras.

Setakat ini SUPP hanya diperuntukkan 12 daripada 19 kerusi tradisi yang diwakilinya, manakala UPP telah diberi tujuh kerusi.

Penganalisis politik percaya pilihan raya ke-11 ini bukanlah lancar bagi BN sebagaimana digambarkan, tetapi penuh berliku.

“Jangan sangka air tenang tak ada buaya di bawahnya. Kita akan lihat airnya bergelombang pada 25 April nanti, “ katanya merujuk kepada segala kemungkinan yang bakal berlaku pada hari penamaan calon, ketika ada daripada calon berpotensi yang tidak disenaraikan mula menyatakan hasrat bertanding.

Selain kerusi asal SUPP, kerusi Batu Kitang juga akan mengalami sabotaj.

Faktor lain yang menjadi punca sabotaj adalah kerana calon berpotensi tidak mahu bekerjasama meskipun berikrar di hadapan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

“Itu sesuatu yang terlalu unggul; dalam realpolitik itu tidak mungkin berlaku. Orang yang kecewa tidak akan mahu bekerjasama,” katanya.

Antara kerusi yang sesak dengan calon ialah Ba Kelalan, Kabong dan Simunjan. Namun, dijangka akan berlaku sabotaj di kerusi Tupong,  Balingian, Tasik Biru, Pakan, Kalaka, Mulu dan Marudi.

Menurut pemerhati, sabotaj boleh dalam bentuk ekstrem, iaitu calon berpotensi membantu calon pembangkang dalam bentuk kewangan atau sokongan, tidak memberi kerjasama atau lari dari kawasan pada hari pengundian.

Sabotaj boleh menyebabkan BN kalah  di segelintir kerusi, dan di sebahagian kerusi lagi terhakis undi majoritinya. – Sarawakvoice.com