Dua letupan di MidValley Megamall, lapan cedera

PETALING JAYA: Dua letupan berlaku di kompleks beli-belah terkemuka ibu negara MidValley Megamall, pagi ini, menyebabkan lapan orang tercedera.

Tiada pengunjung atau orang awam tercedera dalam kejadian itu.

“Tiada sebarang kematian dilaporkan berlaku akibat daripada letupan tersebut dan pekerja penyelenggaraan, kontraktor LPG dan kakitangan penyewa di pusat  beli-belah terbabit hanya mengalami kecederaan ringan, dan  bantuan perubatan juga telah diberikan kepada mereka,” tulis pihak pengurusan Mid Valley.

Kejadian  itu disahkan  pihak pengurusan Mid Valley Megamall melalui kemas kini status di laman sosial Facebook rasmi.

Screen Shot 2016-04-05 at 15.04.11

MidValley merupakan kompleks menjadi kegemaran warga kota, dan penduduk dari Sarawak dan Sabah ketika berada di ibu negara.

Kejadian pukul 9. 45 pagi, ketika kompleks itu baru dibuka kepada pengunjung menyebabkan siling runtuh di hadapan dan dapur restoran terkemuka di aras bawah, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Restoran beroperasi seperti biasa selepas pemeriksaan, kata jurucakap berkenaan.

MidValley Megamall, dalam satu kenyataan berkata: “Mal akan terus dibuka untuk pengunjung, dan kami akan mengemas kini maklumat apabila perlu.”

Difahamkan, letupan kecil tersebut terjadi disebabkan kerja-kerja pemasangan semula sistem gas petroleum cecair (LPG).

Jurucakap jabatan berkenaan berkata, kejadian berpunca daripada kebocoran paip gas (LPG).

Kejadian berlaku ketika kakitangan penyenggaraan melakukan pemeriksaan di dapur, amalan biasa dilakukan bagi semua restoran di kompleks itu.

Selain itu, pihak pengurusan Mid Valley Megamall turut memaklumkan bahawa mereka kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan serta turut menutup semua sistem gas di pusat membeli belah terbabit sehingga dimaklumkan kelak.

“Pusat membeli-belah terbabit juga akan dibuka semula kepada orang awam dan segala maklumat terkini akan dimaklumkan selepas ini,” katanya.

Pihak pengurusan MidValley Megamall memohon maaf atas segala kesulitan dan aspek keselamatan juga akan diberi keutamaan  demi kesejahteraan penyewa dan pengunjungnya. – Sarawakvoice.com