7 tahun, 7 pencapaian hebat Najib

KUALA LUMPUR: Portal berita Malaysiakini mengiktiraf tujuh kejayaan besar Datuk Seri Najib Razak sejak menerajui negara pada hari ini, tujuh tahun lalu.

Tujuh pencapaian Perdana Menteri yang disenangi rakyat, mengikut portal itu ialah Klinik 1Malaysia dan Klinik Bergerak 1Malaysia. Dengan hanya membayar RM1 rakyat Malaysia daripada pelbagai etnik dan latar belakang, dapat menikmati perkhidmatan itu.

Najib yang terkenal dengan slogan 1Malaysia, terus menggunakan slogan itu untuk satu lagi inisiatif beliau, iaitu Kedai Rakyat 1Malaysia yang berusaha untuk menangani masalah tekanan kos sara hidup terutama dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan miskin.

bb1mDi tengah-tengah dakwaan terdapat segelintir mahasiswa dan pelajar menyalah guna baucer buku 1Malaysia, inisiatif Najib itu dapat meringankan beban ibu bapa dan pelajar, kerana dengan baucer bernilai sehingga RM250 mereka dapat membeli buku rujukan untuk kegunaan di universiti dan sekolah.

Bagi warga kota, langkah memperluas rangkaian MRT disambut baik rakyat bagi mengelakkan ketidakselesaan ketika pergi dan balik ke tempat kerja dan sebagainya.

Perdana Menteri juga menghapuskan subsidi gula, dan pada jangka panjang ini  dianggap baik untuk kesihatan rakyat, apatah lagi dengan 2.5 juta rakyat Malaysia mengalami penyakit diabetis.

Urban Transformation Center yang dianggap model terbaik di dunia oleh Najib ketika berucap di Miri semalam, merupakan satu lagi pencapaian cemerlang Perdana Menteri, yang sering dilupai rakyat.

Dengan adanya UTC, banyak perkhidmatan kerajaan disediakan di bawah satu bumbung. Perkhidmatan sehenti itu yang diperkenalkan sejak September 2012 menjimatkan masa rakyat ketika berurusan untuk membuat pasport, mendapatkan lesen, dan sebagainya.

Kini, Kuching dan Miri sudah disediakan perkhidmatan berkenaan, dan bakal menyusul di Sibu untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di selatan, tengah dan utara Sarawak, sekali gus membuktikan komitmen beliau membela nasib dan kebajikan rakyat.

Bagi Malaysiakini, pencapaian kepemimpinan Najib menemui kotak hitam MH17  yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014 adalah membanggakan. Dalam kejadian itu yang mendapat perhatian dunia, 298 penumpang, anak kapal dan juruterbang terkorban.

Najib diangkat sebagai hero di tengah-tengah keadaan yang tidak menentu di sebuah negara yang bergolak. Najib malah mendapat pujian pemimpin pembangkang Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim.

Namun, di sebalik segala pencapaian itu Najib kini dibelit masalah dan isu terutama 1MDB dan wang derma RM2.6 bilion. – Sarawakvoice.com