Saya sokong Najib sebab sifat terbuka dan boleh berunding : Adenan

MIRI: Ketua Menteri Sarawak malam tadi mendedahkan bahawa beliau setia menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana sifat keterbukaan dan keikhlasannya untuk membantu membangunkan negeri ini.

Tan Sri Adenan Satem berkata: “… sebagai ‘orang lama’ dalam bidang politik, saya tahu menilai keikhlasan seseorang pemimpin dalam membantu rakyat.

” Beliau (Najib) mempunyai semangat seperti bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang cukup berjiwa rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam dan sesi ramah mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Kelab Golf & Country Eastwood Valley di sini malam tadi.

Ujar Adenan, Najib amat “terbuka” apabila kepimpinan negeri membangkitkan isu seperti penurunan lebih kuasa kepada kerajaan negeri selain memulihkan hak-hak lain yang diberikan kepada Sarawak menerusi Perjanjian Malaysia 1963.

“Beliau (Najib) tidak marah sebalik berkata, kita boleh berbincang dan berunding,” katanya.

Katanya, biarpun Najib berhadapan dengan pelbagai masalah di Semenanjung, Sarawak tetap berdiri menyokong kepimpinan beliau.

“Rakyat Sarawak amat menghargai komitmen Datuk Seri Najib membawa pembangunan berterusan ke negeri ini, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Katanya, lawatan ke Miri ini merupakan yang ke-49 dilakukan oleh Najib ke Sarawak sejak enam tahun mengambil alih kepemimpinan Kerajaan Persekutuan.

” Belum ada mana-mana Perdana Menteri dapat menandingi rekod itu,” katanya.

Sepanjang tempoh tersebut tambahnya, Najib tidak turun dengan “tangan kosong”, sebaliknya telah mengumumkan peruntukan lebih RM3 bilion bagi merangsang pembangunan di kawasan pedalaman dan luar bandar Sarawak.

” Ini tidak termasuk RM16 bilion yang diperuntukkan untuk membiayai Projek Lebuh Raya Pan Borneo,” jelasnya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak itu berkata, daripada 11 pakej yang dirancangkan untuk lebuh raya itu, tiga pakej sudah dilaksanakan dan ia bakal mengakhiri penantian lebih 50 tahun rakyat negeri ini untuk memiliki rangkaian perhubungan yang cekap dan selesa,” katanya. – Sarawakvoice.com