Penyelam bomba terjun ke lubuk buaya angkara pemandu mabuk di Samarahan

KOTA SAMARAHAN: Gara-gara tindakan seorang pemandu mabuk, enam penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak menggadai nyawa melakukan selaman di kawasan lubuk buaya di Batang Samarahan awal pagi ini.

Ini berikutan kegagalan pemandu pacuan empat roda tersebut, seorang lelaki berusia 56 tahun, memberhentikan kenderaan pada tanjakan feri di sungai tersebut.

“Ketika kejadian, feri masih berada sekitar 15 ke 20 meter dari tanjakan tebing belah Kota Samarahan, namun pemandu tersebut tiba-tiba meluru laju ke bawah tanjakan sebelum menjunam dan tenggelam.

“Beliau bernasib baik kerana kami sempat membawa feri yang kedua ke lokasi kereta itu sedang tenggelam dan lelaki Iban itu sempat menghulur tangan minta diselamatkan,” kata saksi yang dikenali sebagai Rahimin Dilah, petugas feri yang ditemui malam tadi.

Bersama-sama rakannya, Rahimin menarik lelaki tersebut ke atas feri.

Penolong Pegawai Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak, Farhan Sufyan Borhan ketika ditemui di lokasi berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 9 malam dan sebuah jentera dan sebuah ambulans dikejarkan ke lokasi dengan kekuatan 10 anggota.

“Hasil maklumat awal yang diterima, kami dimaklumkan hanya seorang sahaja mangsa yang terlibat, iaitu Liang ak Rengga, 56, yang beralamat di Semariang.

“Pun begitu, kerana adanya maklumat saksi mengatakan mungkin ada mangsa lain di dalam kenderaan Toyota Land Cruiser itu, maka kami mengambil keputusan untuk melaksanakan selaman bagi melakukan pemeriksaan.

Untuk itu katanya, seramai enam penyelamat dalam air dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang diaturgerakkan ke lokasi bagi melakukan jejakan serta membuat pemeriksaan terhadap bangkai kenderaan.

Pasukan ini kata Farhan melakukan selaman sekitar jam 2.30 pagi tadi setelah mengambil kira arus kuat dan kedudukan kenderaan yang beralih-alih.

“Bagaiamanapun usaha menjejak kenderaan berwarna gelap ini gagal menemui kenderaan yang dimaksudkan.”

Pihak bomba akan meneruskan pencarian pada pagi ini.

Jelas Farhan, kejadian ini merupakan yang kedua membabitkan kenderaan dan feri di negeri ini pada tahun ini.

Pada 16 Januari lalu, seorang lelaki berusia 21 tahun ditemui mati lemas, manakala dua rakannya berjaya menyelamatkan diri selepas kereta jenis Proton Saga yang dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Liku di Miri, dengan status pemandu yang sama.- Sarawakvoice.com