Akhbar The Independent di UK hentikan edisi cetakan, muncul digital sepenuhnya

LONDON: Akhirnya selepas beredar di pasaran sebagai akhbar pagi sejak 1986, The Independent yang berpengaruh dan bergengsi di United Kingdom menerbitkan edisi terakhir dalam bentuk kertas semalam, dan hari ini ia muncul sepenuhnya dalam bentuk digital.

The Independent -0000
Edisi terakhir The Independent

Akhbar itu ditubuhkan hasil komitmen  Andreas Whittman Smith di bawah slogan, “It is. Are you?”. Ia terkenal sebagai akhbar yang melaporkan berita eksklusif, dengan berita halaman hadapan yang menarik, serta diiringi banyak gambar.

Dalam edisi terakhir dalam bentuk kertas semalam, akhbar itu memaparkan laporan eksklusif tentang hubungan British dalam plot membunuh Raja Saudi dan gambar penumpang kereta api dikeluarkan dari gerabak dalam operasi antipengganas di Brussels.

Diberi gelaran Indy, pada asalnya The Independent adalah bersaiz lebar, tetapi kemudiannya berubah format kepada tabloid atau kompak pada 2003. Akhbar itu dinobatkan sebagai National Newspaper of the Year pada 2004 oleh British Press Awards.

Pada era puncaknya akhbar itu mencecah edaran 420,000, tetapi kebelakangan ini menjunam ke paras 40,000, ekoran saingan daripada portal berita atas talian.

Pengucupan edaran menyebabkan syarikat penerbitan mengalami kerugian, dengan pendapatan periklanan turut terjejas teruk. Pada bulan lalu, pemiliiknya, Evgeny Lebedev yang berketurunan Rusia-British mengumumkan akan menghentikan penerbitannya kerana tidak lagi mampu menanggung kerugian.

Bagi beliau, bidang kewartawanan telah berubah melampaui zamannya, justeru akhbar konvensional perlu berubah mengikut perkembangan zaman.

Dalam editorial terakhirnya, akhbar itu berkata, “sejarah bakal menghakiminya”  dalam usahanya beralih ke digital, “sebagai langkah yang perlu dicontohi akhbar lain di dunia meneladaninya.”

“Hari ini mesin cetak telah berhenti, dakwat telah kering dan tiada lagi renyukan kertas. Namun satu babak sudah ditutup, tetapi babak lain, akan dibuka dan semangat The Independent akan terus subur,” kata lidah pengarang akhbar berusia 30 tahun itu, semalam.

Akhbar atas taliannya sebenarnya berkembang pantas. Khalayaknya berkembang 33.3 peratus dalam tempoh 12 bulan, untuk mencecah 70 juta pengguna unik global. Portal itu menguntungkan, kata akhbar itu pada 12 Februari lalu.

Evgeny Lebedev,  pemilik The Independent, dipetik sebagai berkata: “Industri persuratkhabaran pantas berubah, dan perubahan itu digerakkan oleh pembaca. Mereka menunjukkan kepada kita, bahawa masa depan ialah digital. Kami akan kekalkan jenama The Independent, dan akan terus melabur untuk kandungan editorial yang bermutu tinggi yang mampu menarik perhatian semakin banyak pembaca melalui platform atas talian.”

“Keluarga saya membeli dan melabur dengan banyak dalam The Independent kerana kami percaya kepada kewartawanan berkelas dunia.”

Pembaca di London dapat membaca pelbagai akhbar, termasuk akhbar percuma. Pada suatu ketika terdapat sekitar 45 akhbar percuma.

Menyedari semalam merupakan kali terakhir akhbar itu muncul dalam bentuk kertas, pembaca berbaris untuk membeli akhbar berkenaan sebagai simpanan dokumentasi. Sarawakvoice.com