SARATOK:Sekurang-kurang lapan nama sedang menaruh harapan dan bersaing untuk dipilih sebagai calon DUN Kabong mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam pilihan raya negeri akan datang.

Berdasarkian  sumber akar umbi di sini, antara mereka yang disebut-sebut dan mengharapkan dipilih sebagai calon adalah terdiri daripada pegawai daerah, pensyarah universiti tempatan dan institut pendidikan guru, bekas pegawai tinggi tentera, serta pengarah jabatan.

Kini, lobi-melobi sedang giat dijalankan oleh para penyokong calon masing-masing bagi memastikan calon terbabit akhirnya dapat menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Difahamkan puak masing-masing sedang berusaha melobi, dan telah bergerak dalam kalangan penduduk tempatan, termasuk ke kampung-kampung dalam beberapa minggu, malah berberapa bulan lalu.

Tiga calon akhir Kabong. Dari Kiri:  Mohd Che Kadir, Abdullah Sulaiman dan Dr Rosana
Tiga calon akhir Kabong. Dari Kiri: Mohd Che Kadir, Abdullah Sulaiman dan Dr Rosana

Sebahagian besar nama tersebut merupakan pemimpin dan ahli PBB di kawasan terbabit.

Sumber BN di Kuching berkata, beberapa nama tersebut memang berada di radar Presiden PBB Tan Sri Adenan Satem.

Malah, difahamkan CV mereka telah pun diteliti oleh beliau beberapa minggu lalu.

Mereka memang berkelayakan dari segi kelayakan akademik, dengan ada daripadanya memiliki PhD dan bergelaran profesor. Ada seorang daripadanya bergelaran Datuk.

Kabong ialah satu daripada 11 kerusi baharu susulan proses persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  tahun lepas yang terletak di kawasan Parlimen Saratok yang diwakili William Mawan Ikom, Presiden Teras.

Dua lagi kerusi ialah Kalaka dan Krian. Dalam pilihan raya negeri 2011, DUN Kalaka dimenangi  calon BN, Abdul Wahab Aziz dari PBB, manakala DUN Krian dimenangi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ali Biju.

Abdullah Sulaiman
Abdullah Sulaiman

Antara nama yang disebut-sebut para pengundi, terutama di kampung-kampung Melayu ialah Abdullah Sulaiman, Mohd Che Kadir, Profesor Isa Ipor, Dr Haji Rossana, Ulin Berody, dan Wan Madihi.

Menurut sumber terdekat PBB di Kabong, SarawakVoice difahamkan, terdapat percubaan pemimpin PBB di bahagian untuk mengadakan tiga nama teratas waktu mesyuarat PBB, tetapi penyokong salah seorang daripada yang tiga itu tidak bersetuju, sehingga akhirnya peti undi dibawa balik.

Difahamkan juga usaha pernah dibuat mempertemukan  tiga calon berpotensi terbabit, tetapi dua daripada mereka tidak mahu memberi laluan.

Isa Ipor
Isa Ipor

Dipercayai, siapa pun dipilih, para pengundi kawasan majoriti Melayu itu mahu seorang anak tempatan yang mesra dan dapat membawa pembangunan ke kawasan itu.  

Majoriti  nama terbabit kini berada di luar kawasan kerana bertugas sebagai penjawat awam.

Menurut penduduk, meskipun sudah di bawah BN untuk sekian lama, para pengundi masih merungut tentang pelbagai isu dan masalah, termasuk pembangunan yang dikatakan perlahan.

Terletak di Kuala Batang Krian, pekan Kabong  dengan keluasan daerah kecil ialah 398.14 kilometer per segi. Jarak dari Saratok ialah 63 km, sementara dari Sarikei 85 km.

Daerah Kecil Kabong mempunyai 26 rumah panjang Iban, dan 27 buah kampung Melayu, dengan penduduk  seramai 15,000 orang; 80 peratus daripadanya Melayu dan 17 peratus Iban.

Penduduk di sini menjadikan pertanian dan perikanan sebagai sumber pendapatan ekonomi utama, selain  berniaga secara kecil-kecilan.

Kabong dijangka tetap menjadi kubu kuat PBB-BN, dan peluang untuk calon pembangkang menang adalah tipis. – SARAWAKVOICE.COM

kabong-0000