Adenan cipta sejarah mansuh cukai tanah

KUCHING: Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Haji Satem mencipta sejarah hari ini apabila mengumumkan pemansuhan cukai tanah bagi negeri ini berkuat kuasa serta-merta.

Menurutnya, pemansuhan cukai ini meliputi tanah pertanian pekebun kecil kurang daripada 100 ekar dan juga semua tanah kediaman.

“Penjelasan ini sejajar dengan pengumuman yang dibuat pada 26 Februari lalu berkaitan pemansuhan cukai tanah ini,” jelasnya dalam sidang media khas di pejabatnya dekat sini pagi tadi.

Turut hadir Menteri Perancangan Sumber  dan Alam Sekitar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Morshidi Ghani dan Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, Datu Sudarsono Osman.

mansuh cukai tanah 2

Keputusan ini kata Adenan, akan melibatkan 360,422 geran dengan kadar cukai bernilai RM8.58 juta.

“Jumlah ini adalah 19 peratus daripada keseluruhan cukai tanah negeri ini,” katanya.

Daripada jumlah tersebut, 173, 752 geran merupakan tanah pertanian pekebun kecil dengan nilai cukai RM3.62 juta manakala 186, 670 geran lagi merupakan tanah kediaman yang melibatkan nilai RM4.96 juta.

“Jumlah ini merupakan lapan peratus dan dan 11 peratus daripada keseluruhan jumlah cukai tanah untuk kedua-dua jenis tanah tersebut.”

Menurut Adenan, kerajaan negeri akan membayar balik mana-mana individu yang telah membayar awal atau terlebih bayar cukai tersebut.

Sementara itu, mengulas tuntutan maaf oleh Persatuan Dayak Sarawak (PEDAS) berhubung kenyataannya berkaitan “bini Iban Najib” sewaktu ucapan pada Program Minda di Tebingan Kuching, Sabtu lalu, Adenan berkata, ia tidak harus dilihat dari luar konteks.

“Ia satu gurauan dan Perdana Menteri, (Datuk Seri Najib Razak) sendiri gelak.

“Tetapi jika ia menyinggung sensitivti sesetengah pihak, saya dengan rendah hati memohon maaf, ” katanya lagi. – SARAWAKVOICE.COM

BACA JUGA:

Cukai tanah Sarawak mansuh, ringankan beban rakyat

mansuh cukai tanah 3

mansuh cukai tanah