Gelora dan mangsa politik di Balingian

MUKAH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian merupakan satu daripada DUN dalam Parlimen Mukah yang kini diwakili Dr Leo Michael Toyad. Leo telah menjadi Ahli Parlimen Mukah sejak 1982.

Dua lagi DUN ialah Dalat yang diwakili Fatimah Abdullah, manakala satu DUN baharu ialah Tellian, ekoran persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

DUN Balingian meskipun nampak tenang di permukaan, tetapi bergelora di bawah. Gelora paling besar adalah apabila tercetusnya peristiwa Ming Court pada 1987.

Wan Habib yang memihak kepada Tun Abdul Rahman Yakub, mantan Ketua Menteri dan mantan Yang di-Pertua Negeri yang berpayung di bawah parti Permas, ditewaskan oleh Abdul Ajis Majeed dalam pertandingan yang dianggap sengit dan penting.

Peristiwa Ming Court tercetus apabila sekumpulan ahli politik dalam PBB tidak puas hati dengan kepemimpinan Abdul Taib, lalu mereka melancarkan pemberontakan pada 1987. Golongan terbabit menuduh Taib memihak kepada tauke Cina.

Kemuncaknya ialah penyingkiran Rahman Yakub daripada jawatan Yang di-Pertua Negeri pada 1985 oleh Taib, menyebabkan Rahman melancarkan siri serangan terhadap Taib pada tahun 1987. Kedua-dua mereka melancarkan kempen dan strategi politik yang paling seru dan agresif dalam sejarah pilihan raya Sarawak, kerana menyedari implikasi dan kesan jika mereka kalah.

Dalam peristiwa itu, isu kronisme dibangkitkan, termasuk jumlah kawasan balak yang dimiliki mereka.

Rahman Yakub menggunakan Sarawak Tribune untuk mendedahkan senarai penerima konsesi hutan, dengan saiz kawasannya sekali, manakala Taib terpaksa membuka akhbar baharu, People’s Mirror, untuk mendedahkan senarai kawasan balak dan penerimanya yang diberi sewaktu pemerintahan bapa saudaranya itu. Semua pendedahan itu kini dapat dibaca dalam buku The Plot That Failed.

Rahman Yakub mengetuai sekumpulan ahli politik Sarawak yang kecewa dan berkumpul di Hotel Ming Court, Kuala Lumpur untuk meluluskan usul hilang keyakinan terhadap kepemimpinan Taib dengan mengumpulkan tandatangan ADUN.

Taib menyedari kesan krisis politik berkenaan, lantas mengadakan pilihan raya negeri tergempar pada tahun 1987. Gabungan Taib memenangi 28 daripada 48 kerusi DUN.

Abdul Ajis Majeed telah menyelamatkan Balingian daripada jatuh ke tangan pembangkang. Dalam Pilihan raya Negeri (PRN) 1991, Abdul Ajis menang dengan majoriti 4,654 undi menewaskan calon PBDS, DAP dan seorang calon Bebas.

Beliau memperoleh 5,742 undi berbanding calon PBDS-Hambali Haji Annuar yang meraih 1,088 undi. Calon DAP dan Bebas hilang wang pertaruhan.

Dalam PRN 1996, sekali lagi Abdul Ajis mewakili BN dan menang dengan 4,622 undi. Lawan beliau calon Bebas, Yusuf Abdul Rahman yang mendapat 2,591 undi.

Ajis Majeed yang mewakili kawasan itu akhirnya berundur pada 2001 dan memberi laluan kepada Ketua Menteri Taib Mahmud ketika beliau masih disenangi pengundi.

“Agenda lebih besar untuk kawasan Mukah menyebabkan Ajis Majeed sedia berkorban. Pengorbanannya itu berbaloi dan wajar. Kita dapat saksikan transformasi di Mukah sekarang,” kata seorang penduduk di Mukah.

“Dengan kuasa dan keupayaan Taib sebagai Ketua Menteri, banyak yang dapat dilakukan Taib. Kita perlu ingat jasa Taib dan juga Abdul Ajis,” tambah beliau.

Namun, berita perpindahan Taib ke Mukah, bukan tanpa memakan mangsa. Seorang wartawan dan seorang editor Utusan Sarawak, akhbar yang dikaitkan dengan Taib, telah dipecat gara-gara menyiarkan laporan yang dianggap tidak menyenangkan pihak yang diamanahkan Taib untuk menjaga akhbar itu pada 2001.

Taib telah menyalurkan berbilion-bilion ringgit untuk mengubah wajah kawasan Mukah meskipun Balingian dianggap sebagai ‘ghost town’, sebuah pekan yang mati dan terabai. Dengan tidak banyak pembangunan dan kurang peluang pekerjaan.

Banyak anak muda yang lari keluar untuk mencari pekerjaan. Untuk sampai di pekan ini memakan masa hampir tiga jam dari Bintulu atau Sibu.

Taib Mahmud bertanding di Balingian pada 2001 dengan berpindah, dari DUN Asajaya yang diwakilinya dari 1987-2001.

Taib menang dengan majoriti 7,307 undi dan menewaskan tiga calon Bebas yang hilang wang pertaruhan. Taib memperoleh 7,532 undi, iaitu 94.53 peratus keseluruhan undi.

Beliau sekali lagi menang pada 2006 dan 2011. Dalam PRN 2011, Taib ditentang hebat seorang calon Bebas, mantan Ahli Parlimen Mukah, Salleh Jafaruddin yang memperoleh 1,056 undi, sekali gus mengurangkan majoriti Taib yang menang sebanyak 5,154 undi. Calon Keadilan, Suriati Abdullah hilang deposit.

Akhirnya selepas mewakili Balingian sejak 2001, Taib berundur pada 2014 daripada jawatan yang disandangnya selama 33 tahun – Ketua menteri paling lama menduduki kerusi terbabit di negara ini. Kemudian beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak pada 1 Mac 2014.

Yussibnosh Balo, pegawai daerah Dalat dipilih menjadi calon PBB-BN dalam pilihan raya kecil 2014 dan menang dengan majoriti 6911 undi. Yussibnosh meraih 8,194 undi, menumpaskan Abdul Jalil Bujang, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang hanya mendapat 1,283 undi.Peratusan yang turun mengundi ialah 72.33 peratus.

Kini, DUN Balingian bergolak lagi, dengan protes-memprotes berlaku berkaitan dengan pemilihan calon. Dalam perkembangan mengejutkan calon yang sepatutnya bertanding, Faridah Osman, 55, telah dilantik sebagai Setiausaha Politik minggu lalu, dalam apa yang disifatkan tindakan pusingan U oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Saji Satem.

Tindakan tidak menyenaraikan Faridah dikatakan ada kaitan dengan kempen dan lobi agresif individu yang berminat menjadi calon.

Pelantikan Faridah sebagai Setiausaha Politik dilakukan sebagai kompromi, tentang apa yang telah berlaku, apatah lagi nama beliau telah diumumkan Adenan dalam majlis Sayap Pemuda dan Wanita PBB di Kuching pada 24 Januari lalu.

Faridah dianggap sebagai mangsa politik kotor individu tertentu yang mengutamakan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan parti dan rakyat.

“Itu merupakan satu kompromi terbaik, menggambarkan pertimbangan dan keprihatinan Adenan walaupun beliau, sebenarnya telah buat kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku.Faridah dijangka akan membantu beliau dari segi politik,”kata satu sumber yang tahu dengan dekat perkembangan politik di kerusi majoriti Melanau itu.

Kini dua nama yang bersaing sengit untuk menjadi calon, mengikut sumber politik di sini dan di Kuching ialah Abdul Yakub Arbi dan Sulaiman Sahari, kedua-duanya pemimpin PBB akar umbi Balingian. – SARAWAKVOICE.COM

BACA JUGA: 

Abdul Yakub Arbi calon BN di DUN Balingian

Debaran kian kencang di Balingian, Adenan umum calon esok

Hanifah Taib bukan calon Balingian

Anak perempuan Taib dispekulasi calon Balingian, Sulaiman Sahari dan Yakub Arbi bersaing sengit

Faridah Osman dilantik Setiausaha Politik, tidak jadi calon Balingian

DUN Balingian: Faridah digugurkan, dua nama bersaing hebat menjadi calon

Calon BN difitnah melalui Facebook